Thursday, April 9, 2015

Surat Terbuka Dato’ Seri Najib Razak – Muhammad Nazreen

Surat terbuka kepada Najib – Muhammad Nazreen
Salam 1 Malaysia,
Ke hadapan Datuk Seri Najib Razak, perdana menteri Malaysia. Saya hanyalah seorang rakyat biasa. Saya tidak mempunyai kekayaan dan status. Tetapi, saya merasakan perlu supaya saudara mendengar keluhan saya. Saya menulis surat terbuka ini kerana saya sudah tidak lagi yakin dengan kepimpinan saudara.
Saudara,
Malaysia kini berada di tahap membimbangkan. Majoriti anak muda di Malaysia berpendapatan kurang daripada RM2000/bulan. Mereka menghadapi kesukaran untuk menampung beban kehidupan, terutamanya bagi mereka yang bekerja dan menetap di kawasan bandar.
Kos sara hidup semakin tinggi. Rumah semakin mahal. Anak muda menghadapi kesukaran untuk melunaskan hutang PTPTN. Dan sudah tentu, perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menyebabkan anak muda terpaksa mengikat perut. Cukai GST secara tidak langsung mendorong inflasi harga barang.
Kerana GST, ramai daripada anak muda tidak mampu untuk menikmati makan tengah hari di luar. Malah, kami terpaksa membawa bekal makanan ke tempat kerja akibat kenaikan harga barang.
Namun, saya agak kecewa dengan sikap boros saudara. Perkahwinan anak perempuan saudara yang sungguh “mewah” dan “membazir” itu menambah lagi kesakitan hati di kami.
Di saat, harga barang semakin meningkat, mengapakah saudara tergamak menganjurkan majlis perkahwinan mewah, sedangkan saya dan rakan-rakan yang lain terpaksa “ikat perut” untuk menanggung kos hidup harian.
Sikap saudara yang seolah-olah tidak peduli akan kesulitan yang kami hadapi menyebabkan kami semakin menyampah dengan slogan-slogan pentadbiran saudara yang kononnya sedia mendengar luahan hati kami.
Apa sudah jadi dengan “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’? Di manakah janji-janji manifesto semasa pilihan raya?
Pepatah Inggeris ada menyebut “action is louder than word”, namun apa yang saya perhatikan adalah sebaliknya. Saudara hanya pandai bercakap tetapi gagal untuk melaksanakan kata-kata saudara.
Saudara,
Pendedahan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan ketirisan wang berbilion ringgit menyebabkan rakyat Malaysia semakin resah. Namun, sehingga hari ini saudara gagal menjawab tuduhan-tuduhan yang dikaitkan ke atas saudara. Ini menyebabkan rakyat Malaysia khususnya anak muda hilang kepercayaan terhadap pentadbiran saudara.
Rakyat Malaysia berhak untuk tahu bagaimanakah wang mereka dibelanjakan. Mereka bekerja dengan bersusah payah untuk memperoleh kekayaan dan mereka menjalankan tanggungjawab kepada negara dengan membayar cukai. Tetapi, saudara mengkhianati amanah mereka.
Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya berpendapat saudara perlu mengambil tanggungjawab untuk mengisytiharkan harta kekayaan setiap menteri-menteri Kabinet.
Saya sarankan saudara mengambil contoh dua orang Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan Dr Jeyakumar (ahli Parlimen Sungai Siput) yang mengambil langkah proaktif untuk mengisytiharkan kekayaan mereka.
Jika saudara seorang pemimpin yang terhormat, saya cadangkan saudara mengambil gesaan berikut dengan serius. Rakyat berhak tahu apakah pemimpin-pemimpin yang mereka lantik seorang yang berprinsip atau tidak.
Rasuah dan ketirisan adalah perkara yang tidak boleh dikompromikan. Saudara sering mengatakan rasuah adalah punca kerosakan negara kita. Namun, saya ingin bertanya adakah saudara benar-benar maksudkan atau ia cuma sandiwara murahan untuk mendapat simpati.
Saya bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyeru agar dijalankan siasatan penuh ke atas 1MDB. Namun, saudara masih belum mengemukakan sebarang kenyataan tentang perkara ini. Saya beranggapan saudara masih belum punya kekuatan untuk menegakkan keadilan.
Ini kerana saudara juga gagal menjawab tuduhan Tun Dr Mahathir yang menuduh saudara terlibat di dalam skandal 1MDB. Tindakan berdiam diri tidak akan menyebabkan saya yakin saudara tidak terlibat. Saudara harus tampil untuk menjelaskan tuduhan ini!
Saudara,
Kita hidup di dalam zaman moden. Kemunculan media sosial membantu rakyat Malaysia untuk berani mengajukan pendapat mereka sendiri. Kebebasan tidak mudah untuk disekat. Media sosial juga membantu saya untuk membuat penilaian yang adil. Jika saudara merasakan “kebenaran” masih boleh disembunyikan, ternyata saudara silap.
Saudara perlu tahu rakyat Malaysia tidak bodoh. Saudara tidak boleh menyekat kebebasan kami untuk bersuara dengan memperkenalkan akta zalim seperti Akta Pencegahan Keganasan (Pota) dan Akta Hasutan.
Tindakan saudara menangkap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, aktivis dan ahli akademik menggunakan akta-akta zalim tidak akan menyebabkan rakyat Malaysia akur dengan pentadbiran saudara.
Tindakan saudara hanya akan mendorong lebih ramai orang bangkit menentang saudara.
Penggunaan akta zalim juga menunjukkan saudara tidak yakin dengan kepimpinan saudara. Bagi saya, manusia yang tidak yakin untuk memerintah adalah manusia yang tidak layak untuk memerintah Malaysia.
Saudara menunjukkan saudara tidak layak untuk memimpin kami.
Kita perlukan pemimpin yang berani berkata benar di hadapan kebenaran, mengaku silap di atas kesilapan. Untuk pengetahuan saudara, saudara tidak mempunyai ciri-ciri pemimpin sepertimana yang saya sebutkan tadi. Saudara cuma mahu ‘dilihat’ berani, tapi ketahuilah saudara sebenarnya seorang pengecut.
Saudara,
Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya berhak untuk mengatakan saudara tidak lagi layak untuk memimpin. Saya sarankan supaya saudara meletakkan jawatan dan bersara daripada dunia politik. Malaysia mempunyai ramai tokoh yang berprinsip untuk memimpin kami.
Jika saudara seorang pemimpin yang berprinsip dan bermaruah, saya ingin mencadangkan supaya saudara mengundurkan diri dan beri peluang kepada tokoh-tokoh muda untuk memimpin Malaysia dengan adil dan saksama. Anak muda berhak menentukan nasib mereka sendiri. Sekian.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider / Free Malaysia Today pic

No comments:

Post a Comment