Monday, August 25, 2014

Cemas anak terkunci dalam kereta

MARANG – Seorang bapa berdepan saat mencemaskan apabila anak lelakinya berusia 5 tahun yang sedang tidur terperangkap kira-kira setengah jam di dalam kereta di hadapan pasar raya Zon Ria di Bandar Marang di sini, kelmarin.

Pegawai Pertahanan Awam Marang, Leftenan Muda Md Shubir Md Isa berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 4 petang  itu, mangsa ditinggalkan seorang diri  dalam keadaan enjin kereta tidak dimatikan untuk ke kedai berdekatan premis berkenaan.

“Namun, ketika ingin masuk semula ke dalam kereta  jenis Perodua Viva itu, bapa kanak-kanak terbabit mendapati kereta itu telah terkunci dari dalam.

"Bimbang sesuatu tidak diingini menimpa anaknya, bapa mangsa cuba mengejutkan anaknya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kata Md Shubir, dia difahamkan pelbagai cara telah digunakannya termasuk menggoncangkan kereta tersebut namun, usaha yang dilakukannya hampir setengah jam itu tidak berjaya untuk mengejutkan kanak-kanak berkenaan daripada tidur.

Md Shubir berkata, buntu dengan keadaan itu, bapa kanak-kanak terbabit bertindak menghubungi anggota JPAM Marang bagi mendapatkan bantuan sebelum sekumpulan anggota tiba di lokasi.

Menurut beliau, pihaknya terpaksa mengambil keputusan memecahkan cermin kereta di bahagian belakang kenderaan itu kerana bimbang kanak-kanak terbabit mungkin lemas sekiranya bantuan menyelamat lambat diberikan.

“Semasa dikeluarkan dari kereta anak pasangan itu berada dalam keadaan baik.

"Kita cuba mencari jalan untuk mengeluarkan kanak-kanak itu dengan cara terbaik tanpa merosakkan kenderaan milik bapa kanak-kanak berkenaan.

“Bagaimanapun kita bimbang jika kanak-kanak yang dikatakan sedang tidur itu sebenarnya sudah lemas atau hampir lemas di dalam kereta jadi kita terpaksa bertindak segera dengan memecahkan cermin kereta tersebut,” katanya.

1 comment: