Primadona filem Melayu, Erra Fazira menjelaskan dirinya berasa gementar untuk beraksi di ‘Konsert Teaterikal Suara Kita’ yang sedang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya. Erra bergandingan bersama Awie dan Ziana Zain dalam persembahan yang bakal berlangsung sehingga 9 Mac ini.
“Saya masih gementar, sampai sekarang pun masih terasa. Untuk bergandingan dengan nama-nama hebat seperti Ziana dan Awie, saya rasa gemuruh, lagi-lagi saya perlu menyanyi bersama mereka. Sudah lama saya tinggalkan dunia nyanyian. Saya juga terpaksa mengubah ‘mood’ dengan begitu cepat. Habis sahaja saya nyanyikan lagu sedih, saya terus kena menyanyikan lagu rentak rancak. Tapi saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar,” ulas Erra ketika ditemui usai ‘Konsert Teaterikal Suara Kita’ di Istana Budaya pada Isnin.
Ada ketika Erra kelihatan sebak apabila dia selesai menyanyikan lagu sedih, namun begitu menurut Erra, dia sebak kerana menjiwai cerita yang cuba disampaikan di pementasan ‘Konsert Teaterikal Suara Kita’, bukannya berkenaan dengan perkara lain.
Mengulas mengenai adegan bersentuhan yang dikurangkan kerana menghormati tempoh edah Erra selama tiga bulan selepas perceraiannya, Erra menjelaskan kekurangan adegan tersebut tidak menjejaskan perjalanan cerita yang cuba disampaikan.
“Kekurangan adegan tersebut tidak menjejaskan perjalanan cerita. Bagi saya, ada atau tidak adegan bersentuhan, tidak mengapa, asalkan apa yang cuba disampaikan itu betul-betul difahami penonton. Cara itu saya lihat selamat, jadi harus diteruskan,” ujar pelakon filem ‘Cinta Kolestrol’ ini.
‘Konsert Teaterikal Suara Kita’ kini sedang hangat dipentaskan bermula dari 3 Mac sehingga 9 Mac depan. Menggabungkan persembahan hebat dari Ziana Zain, Awie dan Erra Fazira, persembahan ini menampilkan unsur nyanyian dan lakonan, antaranya dari filem ‘Sembilu’, ‘Maria Mariana’, ‘Tragedi Oktober’ dan ‘Merah’. Bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan tiket bagi ‘Konsert Teaterikal Suara Kita’ boleh layari www.ticket2u.biz untuk urusan pembelian tiket -Gua
No comments:
Post a Comment