Thursday, March 20, 2014

Polis siasat tiga permainan

SEPANG 19 Mac - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat tiga jenis permainan dalam sistem simulasi penerbangan milik juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah yang dipercayai mempunyai hubung kait dengan kehilangan pesawat itu sejak 8 Mac lalu.



Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tiga jenis permainan yang sedang disiasat itu ialah Flight Simulator XFlight Simulator 10 dan X Flight 10 yang terdapat dalam sistem berkenaan.
"Sistem simulasi penerbangan yang diambil pada Ahad lalu didapati mengandungi tiga jenis permainan itu. Selepas diteliti kita dapati ada data log kepada permainan itu yang telah dipadamkan pada 3 Februari lalu," katanya dalam sidang akhbar bersama di Pusat Media Hotel Sama-Sama di sini hari ini.

Yang turut hadir Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya.

Pada Ahad lalu, polis mengambil sistem simulasi penerbangan itu dari rumah Zaharie di Shah Alam untuk diperiksa oleh pakar dan kemudian alat tersebut dipasang semula di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Sebuah akhbar semalam melaporkan peralatan yang diambil dari rumah Zaharie itu mengandungi perisian latihan mendarat di lima landasan kapal terbang di kawasan koridor utara dan selatan antaranya Lapangan Terbang Antarabangsa Male di Maldives, sebuah lapangan terbang milik Amerika Syarikat di Diego Garcia dan tiga lagi landasan di India dan Sri Lanka.

Berikutan itu Khalid berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pakar forensik dari Cyber Security Malaysia, MAS dan luar negara untuk mengesan serta meneliti semula data tersebut.
Beliau berkata, selepas itu baru pihaknya dapat mengesahkan sama ada kehilangan pesawat jenis Boeing 777-200 itu mempunyai kaitan dengan dakwaan juruterbang berumur 53 tahun itu pernah belajar mendarat di beberapa lapangan terbang di bahagian koridor selatan dan utara menggunakan sistem simulasi penerbangan tersebut.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya mendapat kerjasama baik daripada ahli keluarga juruterbang dan pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid bagi membantu siasatan polis.

"Apa yang penting bagi kami sekarang ialah keluarga kedua-dua juruterbang dan pembantunya memberikan kerjasama penuh kepada polis dan mereka juga tiada masalah memberikan maklumat penting," katanya.
Ditanya sama ada fokus siasatan polis sudah berubah dengan siasatan terhadap sistem simulasi penerbangan itu, Khalid menegaskan, pihaknya masih memfokuskan kepada empat elemen utama iaitu rampasan, sabotaj, masalah peribadi dan psikologi dalam kalangan krew serta penumpang.

Dalam sidang akhbar semalam, Ahmad Jauhari mengesahkan kedua-dua juruterbang dan pembantunya itu tidak pernah menerbangkan mana-mana pesawat MAS ke kawasan di bahagian koridor selatan dan utara yang menjadi lokasi baharu operasi mencari dan menyelamat dijalankan- Utusan



No comments:

Post a Comment