KUALA LUMPUR: DAP hari ini meminta agar kerajaan dapat memberi penjelasan yang lebih telus berhubung insiden membabitkan pesawat MAS MH370 yang dikatakan telah hilang di selatan Laut Hindi.
Ahli Parliman Gelang Patah, Lim Kit Siang ketika membahaskan usul takziah yang di bawah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sidang Parlimen turut mempersoalkan bagaimana kerajaan membuat keputusan tanpa ada bukti kukuh.
Najib pagi tadi hadir di parlimen bagi membentangkan usul mengesahkan pesawat MH370 telah berakhir di selatan Laut Hindi.
"Ini merupakan satu mala petaka yang menimpa negara ini termasuk juga syarikat penerbangan.
"Kami dari DAP dan Pakatan Rakyat turut bersedih dengan apa yang berlaku serta sentiasa berdoa sejak dari awal kehilangan lagi.
"Walaupun kita dalam keadaan bersedih, namun masih ada 1001 persoalan yang belum dijawab dan tiada jawapannya," kata beliau.
Beliau memberitahu, 8 Mac lalu MH370 dilaporkan hilang dan radar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan pesawat tersebut telah menukar laluan.
Namun, beliau kesal kerana tidak ada usaha diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut.
"Persoalan-persoalan ini perlu dijawab, pelbagai pertanyaan yang timbul dan perlu satu penjelasan yang telus dan khusus.
"Kita lihat sejak awal lagi maklumat-maklumat yang diberikan agak sekata seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan.
"Kita mahu kerajaan menjelaskan segala-galanya, kerana ini bukan sahaja kehilangan keyakinan rakyat terhadap kerajaan tetapi juga keyakinan peringkat antarabangsa.
"Kita tidak menolak pengumuman tersebut, tetapi setelah ia dilakukan timbul pula apa bukti yang mengesahkannya.
"Apa yang boleh meyakinkan kita bahawa MH370 itu benar-benar berakhir di selatan Laut Hindi.
"Kita mahu keyakinan dari pengumuman dilakukan kerajaan," katanya.
Lim Kit Siang turut meminta agar kerajaan mewujudkan satu badan siasatan bebas dengan kerjasama negara luar supaya ia dapat membantu Malaysia diyakini oleh masyarakat dunia - Harakah
No comments:
Post a Comment