BELUM ada single atau album sulung, namun remaja ini sudah memuat naik sebanyak 114 video lagu yang dinyanyikan semula di YouTube sejak setahun lalu. Biarpun dia bukan siapa-siapa namun bakatnya itu ditonton oleh hampir tujuh juta penonton.
Siapa sangka ekoran sambutan hangat daripada pelayar YouTube, akhirnya ada syarikat rakaman terpanggil untuk melamar NurSyazwani Selamat atau ingin dikenali sebagai Wani, 17, sebagai artis naungan mereka.
Remaja kelahiran Batu Pahat, Johor itu telah dilamar menjadi artis rakaman di bawah label syarikat rakaman Fantasia Music City (FMC) dan telah menandatangani kontrak selama lima tahun sebagai artis rakaman dan komposer muda.
Jelas anak bongsu dari dua beradik ini, dia mula menunjukkan bakat menyanyi sewaktu di sekolah rendah dengan aktif memasuki pertandingan nasyid, kugiran sekolah dan juga dalam pertandingan majlis tilawah al-Quran.
Wani yang masih menuntut di tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Medan, Batu Pahat ini turut menunjukkan minatnya untuk bermain gitar. Kerana minatnya itu, dia telah mendaftarkan dirinya menghadiri kelas latihan bermain gitar sejak setahun lalu.
Lagu pertama yang dimuat naik ke akaun YouTube miliknya, Wani adalah lagu Patah Seribu, dendangan Shila Amzah yang dinyanyikan dengan gayanya yang tersendiri.
Lagu kedua yang saya rakamkan balik ialah dari pemilik asal lagu Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang nyanyian Tegar. Syukur alhamdulillah sambutan di luar jangkauan apabila ramai yang meminati nyanyian saya," katanya memulakan perbualan.
Di samping berbakat bermain alat muzik, Wani turut mempunyai bakat dalam mencipta lagu sendiri. Single pertama I Cinta Jer yang digubah sendiri oleh Wani telah mendapat sentuhan susunan muzik dari komposer terkenal, AG Coco.
Memandangkan Wani masih di bangku sekolah dan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mungkin proses pembelajarannya akan sedikit terganggu yang memerlukan dia untuk memenuhi undangan persembahan.
Memandangkan saya akan menduduki SPM pada hujung tahun nanti, saya terpaksa terima undangan pada musim cuti persekolahan atau pada hari minggu sahaja. Saya perlu berulang-alik dari Batu Pahat ke Kuala Lumpur setiap kali jika ada persembahan.
Pihak pengurusan tahu bahawa waktu saya hanya pada hari Sabut sahaja buat masa ini kerana memandangkan cuti mingguan di Johor berbeza dengan di Kuala Lumpur. Ternyata mereka sangat memahami dan akur dengan permintaan saya sehingga peperiksaan SPM berakhir," ujarnya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment