Keluarga pembantu juruterbang Malaysia Airlines (MAS); Ahmad Hakimi Hanapi, 29, yang terkorban dalam nahas pesawat MH17 di Ukraine bersyukur apabila dimaklumkan bahawa jenazah anaknya ‘cukup sifat’ dan dalam keadaan sempurna.
Memetik laporan laman web Harian Metro, keadaan jenazah Allahyarham Ahmad Hakimi dimaklumkan oleh petugas yang menguruskan jenazah kepada ibunya Noriah Daud, 57, yang berada di Amsterdam, Belanda.
“Anak awak cukup sifat,” itulah kata-kata yang diberikan oleh petugas yang menguruskan jenazah mangsa nahas pesawat itu.
Perkara itu dimaklumkan kepada nenek Allahyarham Zaleha Bawal Khan, 73,. Selain itu, dimaklumkan juga semua urusan memandikan dan mengkafankan jenazah cucunya itu berjalan lancar.
“Dia memberitahu ayat pertama diberitahu petugas kepada mereka di Amsterdam, Ahmad Hakimi cukup sifat. Kami bersyukur mendengarnya.
“Cuma dia ada memberitahu tidak sempat menatap wajah arwah kerana sudah dikafankan, namun tidak terkilan kerana bimbang jika melihat jasad anaknya, dia akan menjadi lebih sedih,” katanya dalam laporan berkenaan di kediamannya di Kedai Melor, Kota Bharu, Kelantan.
Pesawat MH17 yang membawa 298 orang penumpang pada 17 Julai lepas terhempas dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine di Grobovo berhampiran sempadan Russia.
Kesemua penumpang dan anak kapal terbunuh dalam nahas berkenaan. – Mynewshub.my
Oleh : Ibnu K
Esok, Harinya Seluruh Negara Berkabung
ESOK, seluruh negara akan diselubungi kesuraman apabila 20 jenazah warga Malaysia nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 akan kembali ke tanahair dengan sebuah pesawat khas dari Amsterdam Belanda.
Pada 17 Julai lepas, kesemua jenazah merupakan antara 298 penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia dipercayai ditembak jatuh dan terhempas di Ukraine.
Hari esok juga telah diisytiharkan sebagai Hari Berkabung Negara oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 14 Ogos lepas sebagai menghormati ketibaan jenazah warga Malaysia itu.
Sempena Hari Berkabung Negara esok, akan berlangsunglah satu istiadat penghormatan jenazah tragedi nahas itu yang akan diadakan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pesawat khas yang membawa kesemua jasad warga Malaysia itu dijangka tiba di KLIA pada pukul 10 pagi.
Pada istiadat itu, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah akan berangkat menghadirinya termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ahli Kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri.
Ketika ini, satu raptai akhir sedang dijalankan di Kompleks Bunga Raya bagi memastikan istiadat esok berjalan lancar.
Bendera Dikibarkan Separuh Tiang
Sempena Hari Berkabung Negara esok, beberapa peraturan lain sudah pun ditetapkan bertujuan memberi penghormatan kepada jenazah mangsa nahas MH17 yang akan kembali ke Malaysia.
- Jalur Gemilang dikibarkan separuh tiang di seluruh negara pada hari tersebut.
- Rakyat di seluruh negara diminta bertafakur selama satu minit dan kenderaan yang berada di jalan raya juga perlu berhenti selama satu minit dijangkakan di antara pukul 10.45 pagi dan 11.15 pagi.
- Pesawat-pesawat di KLIA akan juga berhenti dan bertafakur selama dua minit.
- Semua acara berunsur hiburan ditangguhkan pada hari berkenaan.Pakaian hendaklah warna-warna yang suram dan tidak warna yang terang dan garang, bagi yang beragama Islam dan terlibat secara langsung, mereka digalakkan memakai songkok (tanpa lilitan warna putih) atau selendang hitam.
- Pada hari berkenaan juga, rancangan hiburan pada semua saluran radio dan televisyen hendaklah ditangguhkan dan diganti dengan bacaan Al-Quran dan program berunsur keagamaan.
Pada sidang media semalam, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata nama-nama jenazah yang akan dibawa pulang esok akan diumumkan hari ini. –Mynewshub.my
Oleh : Ibnu K
No comments:
Post a Comment