Tuesday, April 15, 2014

Isyarat telefon bimbit Fariq dikesan di Pulau Pinang, lapor CNN

KUALA LUMPUR: Isyarat telefon bimbit milik pembantu juruterbang pesawat Penerbangan Malaysia, MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, Fariq Abdul Hamid  dilaporkan telah dikesan sebuah menara telekomunikasi atau “cell tower” di Pulau Pinang, sejurus sebelum pesawat itu hilang dari radar pada hari kejadian.

Perkara itu dimaklumkan oleh seorang pegawai Amerika Syarikat yang terbabit dengan siasatan kepada saluran berita CNN pada Isnin. Dia berkata maklumat itu telah dikongsikan oleh seorang anggota penyiasat Malaysia.

Namun disebalik pendedahan itu, katanya tiada sebarang bukti untuk mengatakan Fariq telah cuba untuk menghubungi seseorang.

Menara komunikasi terbabit terletak pada jarak 250 batu dari tempat isyarat transponder pesawat kali terakhir dikesan radar.

Telefon bimbit yang aktif ketika itu dikatakan sedang berusaha mengesan sebarang isyarat dari menara telekomunikasi berdekatan, kira-kira 30 minit selepas pesawat dipercayai membuat lencongan ke barat Semenanjung, keluar dari laluan asalnya ketika perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing, China.

Selain dari isyarat itu, tiada lagi sebarang isyarat lain dikesan, katanya lagi.

Maklumat itu dikatakan sepadan dengan andaian sebelum ini bahawa pesawat terbabit telah terbang rendah bagi mengelakkan dikesan radar sehinggakan isyarat telefon bimbit dapat dikesan oleh menara telekomunikasi.

Sebelum ini sebuah akhbar tempatan melaporkan Fariq telah cuba untuk membuat panggilan ketika penerbangan.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussien bagaimanapun pada Ahad menafikan laporan itu dan enggan membuat sebarang spekulasi.

Menurut seorang pakar penerbangan, adalah menjadi kebiasaan untuk seseorang juruterbang dan pembantunya untuk mematikan telefon bimbit ketika berada di dalam kokpit.


No comments:

Post a Comment