KUALA LUMPUR - Mengendalikan sidang media membabitkan kira-kira 600 wakil media tempatan dan asing menuntut Jagjit Singh Sarjit Singh menggunakan segala kemahiran yang dimiliki untuk memastikan persidangan mengenai perkembangan terkini tragedi MH370 itu berjalan lancar dan memenuhi tujuannya.
Menyifatkan pembabitannya berlaku secara 'bidan terjun', Penolong Pegawai Penerangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu berkata beliau bukan sahaja perlu bersedia dengan segala maklumat yang perlu tetapi juga harus bijak menangani wartawan, terutama media asing yang adakala bertanyakan soalan berbentuk provokasi.
"Tidak ada ruang untuk saya lakukakan kesalahan. Sebelum sidang media berlangsung banyak persediaan perlu saya lakukan," katanya yang ditemui Bernama selepas ditemu ramah oleh Radio24 Bernama menerusi rancangan 'Ala Carte Pagi'yang dikendalikan Raifah Nabilla dan Shuhada Armawan, di sini hari ini.
Jagjit Singh yang mengendalikan sidang media mengenai MH370 itu sejak 10 Mac lepas, mengakui agak gementar apabila mengetahui dipilih menggantikan seorang pegawai lain menjadi moderator sidang media tersebut.
"Saya seakan tak percaya. Pelbagai perkara bermain di fikiran saya memandangkan ini adalah kali pertama saya menjadi moderator sidang media terbesar dan membabitkan isu besar negara," katanya yang berdepan wakil media daripada 281 agensi dari 33 negara hampir setiap hari sejak tarikh itu.
Menurut Jagjit Singh beliau belajar daripada setiap sesi dan berusaha memperbaiki sebarang kelemahan pada hari berikutnya.
"Ada yang memuji cara saya mengendalikan sesi sidang media itu, namun tidak kurang juga mengkritik terutamanya media luar yang bertanyakan kepada saya kenapa tempoh sidang media amat singkat sehingga banyak soalan tidak dapat diutarakan," katanya.
Bagaimanapun dengan penjelasan yang diberikannya, selain pelbagai bantuan lain termasuk mengatur temu ramah khas untuk media asing dengan pihak yang berkenaan dapat meredakan rasa tidak puas hati mereka, sekali gus memberi imej positif kepada negara, katanya.
"Saya belajar sesuatu daripada tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya itu iaitu erti sabar," katanya sambil menambah media tempatan dilihat amat disiplin, tenang dan sopan ketika bertanyakan soalan berbanding media antarabangsa yang agak agresif dalam mendapatkan maklumat terkini berhubung insiden itu.
Hari ini sidang media terakhir diadakan di pusat media mengenai tragedi MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini selepas operasi pusat itu ditamatkan bermula esok.
Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan sebelum ini semua kenyataan akhbar selepas ini akan dihantar terus kepada media menerusi e-mel. - Bernama
No comments:
Post a Comment