Friday, April 11, 2014

Wanita hina polis dalam FB ditahan


Kakitangan AADK tidak puas hati terima surat saman trafik 

Beaufort: Seorang kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ditahan kerana dipercayai menghina polis trafik menerusi laman sosial Facebook (FB), kelmarin. 


Wanita berusia 28 tahun itu ditahan di pejabatnya di sini, pada jam 5 petang susulan laporan polis dibuat terhadap status dimuat naik suspek di laman sosial berkenaan. 



Difahamkan, wanita itu yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak, memuat naik status berkenaan kerana tidak berpuas hati selepas menerima surat saman berkaitan kesalahan lalu lintas. 

Status itu dipercayai dimuat naik pada Selasa lalu dan dibaca oleh seorang anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort yang kemudian membuat laporan. 

Suspek kena reman 

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Mustafa Maaroff, berkata suspek direman tiga hari untuk siasatan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku menulis status berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan saman yang dikeluarkan polis trafik,” katanya. 

Polis turut merampas telefon bimbit dan satu set komputer yang disyaki digunakan oleh suspek untuk memuat naik status berkenaan di Facebook.

No comments:

Post a Comment