Thursday, April 10, 2014

TIP Pemakanan Bayi 6 Bulan ke Atas

Makanan pertama bayi


Kementerian Kesihatan menyarankan supaya anda menyusukan bayi anda sehingga usianya enam bulan. Selepas enam bulan, susu badan sahaja tidak mencukupi untuk memberikan bayi anda nutrien yang secukupnya terutamanya zat besi; oleh itu makanan lain diperlukan juga. 

Menunggu selama enam bulan untuk memperkenalkan makanan pejal ke dalam diet bayi anda adalah baik sebab akan meminimakan risiko tindak balas berlawanan terhadap makanan dan alergi. Ini amat penting jika terdapat peristiwa alergi dalam sejarah keluarga anda kerana kes-kes alahan terhadap makanan, alergi dan penyakit seliak berkurangan jika anda menangguhkan cerai susu sehingga waktu tersebut. 

Jika anda merasakan bayi anda sudah memerlukan makanan pejal sebelum usianya enam bulan, bincanglah dahulu dengan pakar pediatrik anda. Ini penting terutamanya jika bayi anda dilahirkan pramatang. Pakar-pakar menegaskan bahawa makanan pejal tidak seharusnya diperkenalkan sebelum bayi anda berusia empat bulan (20 minggu). 

Salah satu perkara pertama yang bayi anda perlu pelajari apabila tiba waktu bercerai susu ialah bagaimana menelan bahan "bukan cecair". Justeru, untuk memastikan bayi anda tidak perlu terus menerima perisa baru dan juga menggunakan otot yang berbeza bagi menelan, maka makanan pertama paling biasa diberikan ialah nasi bayi yang tawar dicampur dengan susu yang biasa bayi anda minum. Apabila bayi anda telah selesa dengan nasi dan susu, berikannya pula sedikit puri buah atau sayur. Panduan am dalam pekara ini ialah perkenalkan satu jenis makanan pada satu-satu masa dan menunggu sekurang-kurangnya tiga hari sebelum memperkenalkan makanan lain supaya anda dapat mengetahui sama ada sesuatu makanan itu sesuai atau tidak bagi bayi anda. 

Cubalah: 

  • puri sayur-sayuran seperti lobak, labu dan keledek;
  • puri buah-buahan seperti mangga, betik atau pisang lenyek dan juga buah epal dan pir yang sudah dimasak;
  • bijiran bayi yang bebas gluten seperti nasi bayi diperkaya dengan zat besi dan dicampur dengan susu biasa bayi;
  • bubur nasi kosong yang dimasak di rumah.

Peringkat seterusnya

Apabila bayi anda nampak gembira disuap dengan sudu, tambahkan jenis makanan, seperti: 
  • puri lentil atau legum seperti kacang pis;
  • puri sayur-sayuran campuran dengan ubi kentang atau nasi;
  • puri yang terdiri daripada sayur-sayuran berdaun hijau seperti kobis, bayam, sawi atau kailan.


Cuba berikan hanya satu hidangan puri manis atau bijiran dalam sehari dan berilah puri sayur-sayuran setiap masa. Jadikan makanan tersebut semakin pekat secara perlahan-lahan. 

Pakar pediatrik anda mungkin akan menyarankan supaya anda menunggu:

  • sekurang-kurangnya enam bulan untuk memperkenalkan kacang soya, ikan dan buah-buahan sitrus; 
  • satu tahun untuk memperkenalkan telur dan susu lembu atau produk susu (keju dan yogurt); 
  • dua tahun untuk memperkenalkan kerang-kerangan. 

Jika keluarga anda mempunyai sejarah alergi seperti ekzemaasma atau alahan terhadap makanan; elakkan memberi bayi anda kacang tanah dan bijan sehingga usianya tiga tahun. 

Risiko mendapat penyakit seliak boleh dikurangkan dengan mengelakkan pengambilan makanan yang mengandungi gluten, seperti gandum, rai dan makanan berasaskan barli. Ini termasuklah roti, tepung, pasta, sesetengah bijiran sarapan dan biskut rusk sehingga usia enam bulan. Sebaik-baiknya elakkan pengambilan oat sehingga usia bayi enam bulan kerana ia mungkin mengandungi serpihan gluten. 

Elakkan susu untuk membesar bagi bayi yang lebih matang sehingga bayi anda sudah melepasi enam bulan. 

Jangan masukkan garam atau gula, madu atau pemanis lain ke dalam makanan bayi anda. 

Makanan bayi: dari tujuh hingga sembilan bulan


Mulai sekarang, keupayaan bayi anda untuk turut makan bersama dengan ahli keluarga kian meningkat. Dudukkan bayi anda di kerusi tinggi (kerusi budak) di meja makan apabila keluarga sedang makan. 

Walaupun bayi anda mempunyai waktu makan yang lebih awal daripada ahli keluarga yang lain, adalah penting agar dia membiasakan diri dengan duduk bersantap di kerusi tingginya, apatah lagi memandangkan dia sudah semakin lincah sekarang. Bayi yang makan dalam posisi berbaring atau separuh berbaring dan anak-anak kecil yang dibenarkan berlari dengan makanan dalam mulut berisiko besar untuk tercekik

Anda perlu memberikan bayi anda pelbagai jenis makanan untuk memenuhi keperluan nutriennya dan untuk membiasakan bayi anda dengan rasa-rasa yang berlainan. Ini juga akan mengurangkan keperluan untuk mengelak makanan-makanan tertentu. 

Sekarang tiba masa untuk memperkenalkan: 

  • Makanan yang dilenyek atau dikisar, bukan dipuri. Pastikan makanan mengandungi sedikit ketulan.
  • Pelbagai jenis makanan berkanji seperti roti, pasta, roti pita, tosai, bijiran sarapan, oat, mi lembut atau mihun, ubi kentang, nasi dan milet. Berikan dua hingga tiga hidangan makanan berkanji dalam sehari.
  • Air masak yang telah disejukkan dalam cawan atau bikar bermuncung lembut untuk diberikan apabila bayi anda dahaga, sebagai tambahan kepada 500-600ml susu ibu atau susu formula. Jika anda memilih untuk memberikan jus buah-buahan, berikan hanya pada waktu makan sahaja dan cairkan 1 bahagian jus kepada 10 bahagian air masak yang telah disejukkan dan gunakan bikar atau cawan, dan bukannya botol. Memberikan jus semasa waktu makan akan membantu penyerapan zat besi dan mengurangkan risiko kerosakan pada gigi yang mula tumbuh.
  • Buah-buahan sitrus seperti buah oren.
  • Telur yang dimasak sepenuhnya, ikan dan lentil. Berikan satu hidangan makanan yang kaya dengan protein dalam sehari.
  • Produk tenusu seperti yogurt dan keju. Walaupun anda perlu menunggu sehingga bayi anda berusia setahun untuk memberikannya susu lembu sebagai minuman, ia boleh digunakan dalam masakan atau dengan bijirin sarapan bayi anda, jadi buatlah sos keju untuk ditambahkan ke dalam sayur-sayuran atau pasta.
  • Susu formula untuk membesar boleh diberi jika anda mahu.
  • Makanan yang boleh dipegang dengan jari adalah bagus untuk bayi anda apabila ia sudah boleh memegang barang. Ini memberi dia sedikit kawalan ke atas pemakanannya. Cuba berikan potongan lobak yang dimasak, kiub keju, kepingan pisang atau buah pir yang lembut.

Dari usia 10 bulan

Hidangan bayi kini sepatutnya sudah lebih mirip hidangan orang dewasa. Makanan perlu dipotong atau dikisar berdasarkan pola dua hingga tiga hidangan penuh sehari bersama satu atau dua snek dan 500-600ml susu ibu atau susu formula. Pada peringkat ini, bayi anda perlu diberikan: 
  • tiga atau empat hidangan makanan berkanji sehari seperti nasi, mi, roti, pasta atau ubi kentang;
  • satu hidangan daging, ikan, telur atau dua kekacang (lentil, pis, kacang);
  • satu atau dua hidangan keju atau yogurt serta susu ibu atau susu formula.

Apakah yang perlu dielakkan oleh bayi di bawah usia satu tahun?

Apabila memberi makanan kepada bayi di bawah satu tahun:
  • Elakkan garam, gula, madu dan pemanis tiruan. Cuba maniskan pencuci mulut dengan menggunakan pisang lenyek atau puri buah-buahan kering (rebus dan kisar) di mana sesuai, atau gunakan susu ibu yang dipam atau susu formula.
  • Elakkan daripada menambah sebarang teh ke dalam botol bayi. Tanin dalam teh akan menganggu penyerapan zat besi dan kafein yang juga ada dalamnya tidak disarankan untuk kanak-kanak.
  • Elakkan dari memberi minuman buah-buahan dalam kotak atau tin atau minuman diet kepada bayi anda. Pemanis tiruan tidak sesuai untuk bayi dan kanak-kanak.
  • Elakkan makanan yang membawa risiko keracunan makanan seperti keju lembut yang diperam sehingga berkulat (brie, camembert) dan sari (pate) hati. Telur mestilah dimasak sepenuhnya. Elakkan memberi telur rebus lembut, telur separuh masak atau telur mentah.
  • Jangan berikan susu lembu (atau kambing atau biri-biri) sebagai minuman utama.
  • Elakkan susu skim dan susu separa skim, mentega rendah lemak, yogurt dan keju rendah lemak. Sentiasa berikan bayi anda jenis penuh krim.

Berapa banyak lemak perlu diberikan kepada bayi dan anak kecil?

Sehingga usianya sekurang-kurangnya dua tahun, lemak ialah sumber tenaga yang penting bagi bayi anda, jadi susu, keju dan yogurt penuh krim adalah penting. Apabila bayi anda sudah berusia dua tahun, dan hanya jika dia membesar dengan sihat, dan memakan makanan seimbang, barulah anda boleh memperkenalkan jenis rendah lemak kepadanya secara perlahan-lahan. Apabila dia sudah berusia lima tahun, hanya sepertiga daripada tenaganya perlu diperolehi dari lemak. 

Berapa banyakkah serat yang diperlukan?


Berhati-hatilah apabila memperkenalkan terlalu banyak makanan bijian penuh kepada bayi dan kanak-kanak kecil. Ia akan berkembang dan boleh memenuhkan perut yang kecil, meninggalkan hanya sedikit ruang untuk makanan bertenaga tinggi yang lain. Jadi berikan bayi dan anak kecil anda campuran roti putih dan yang bijian penuh, begitu juga dengan nasi dan pasta. 

Akhir sekali, lihatlah pelan makanan ibu dan bayi kami yang direka khas oleh pakar pemakanan BabyCenter, Ng Yee Voon, bagi membantu anda merancang menu bercerai susu untuk bayi anda.

No comments:

Post a Comment