SHAH ALAM - Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah hari ini mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar memberikan bukti sekiranya Malaysia berbohong serta menyembunyikan fakta mengenai kehilangan MH370.
Menurut Shamsul, Anwar perlu tampil memberi bukti yang jelas, bukan bertindak dengan 'berteriak' di media asing dengan membuat pelbagai tuduhan kepada kerajaan tanpa bukti yang kukuh.
"Menyentuh mengenai isu ini, kalau kita tengok cerita P.Ramlee, ada watak Saleh Kamil yang menjadi tali barut Jepun, adakah watak ini ada dalam negara kita sekarang?
"Itu yang membimbangkan kita kerana keadaan ini akan menyusahkan kita kerana bila krisis berlaku ada pihak yang bukan hendak membantu menyelesaikan masalah tetapi memburukan lagi keadaan.
"Berbalik kepada soal Anwar tadi, kita cabar Anwar, buktikan bahawa Malaysia berbohong dan menyembunyikan fakta kerana kita kena ingat dalam situasi ini sudah tentu ada perkara yang tidak boleh didedahkan kepada umum untuk tujuan keselamatan dan sebagainya," katanya kepada Sinar Harian Online.
Dalam perkembangan yang sama, Shamsul turut berharap agar seluruh rakyat Malaysia bersatu dalam menghadapi situasi seumpama ini.
"Saya berharap dalam menghadapi situasi krisis seumpama ini rakyat Malaysia bersatu kerana ia berkaitan dengan maruah negara," katanya.
Semalam, Akhbar Daily Telegraph yang beribupejabat di United Kingdom menyiarkan kenyataan Anwar yang menuduh kerajaan menyembunyikan maklumat berhubung kehilangan MH370 dan mempersoalkan kegagalan sistem radar canggih Malaysia, Marconi.
No comments:
Post a Comment