Friday, June 6, 2014

Wawa Zainal seronok menjadi ibu

Wawa Zainal seronok menjadi ibu

"BILA dah ada anak, baharu saya tahu bagaimana nilai kasih sayang ibu terhadap saya dahulu..." itulah antara luahan perasaan pelakon cantik, Wawa Zainal, sepanjang membesarkan puteranya, Ahmad Fakharuddin Attar, sembilan bulan.


Hari demi hari, bulan berganti bulan, Attar yang dilahirkan pada 24 Ogos tahun lalu kini semakin membesar dan akui Wawa ia adalah detik yang teramat indah dikongsi bersama suami, Aeril Zafrel.

Malah, paling membahagiakan, tahun ini merupakan tahun pertama Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin, 22, meraikan sambutan Hari Ibu bersama suami dan Attar.

"Hanya seorang ibu yang faham perasaan ibu. Macam saya, bila saya bergelar ibu, baru saya faham betapa sayangnya mak pada saya dahulu.

"Menjadi seorang ibu adalah satu perasaan yang sukar untuk digambarkan. Saya bersyukur kerana ALLAH SWT bagi peluang kepada saya untuk jadi ibu.

"Saya tak sabar menyambut Hari Ibu pada tahun-tahun akan datang. Alhamdulillah, tahun ini saya dapat ucapan dan hadiah istimewa daripada suami," katanya lagi.

Tambah Wawa, hakikatnya, setiap hari adalah Hari Ibu kerana baik yang punyai ibu ataupun sudah bergelar ibu mengharapkan tiap waktu adalah saat manis bersama orang tersayang.

"Jadi, anak yang baik akan selalu menghargai dan menjaga maruah ibunya sama ada di waktu hidup atau ketiadaannya.

"Cuma tarikh Hari Ibu ini diwujudkan sekadar memudahkan perancangan untuk menghimpunkan adik beradik bersama ibu kerana masing-masing mempunyai jadual hidup sendiri," jelas Wawa.

Ibu membantu

Walaupun bergelar ibu muda, Wawa memberitahu, dia dan suami, tidak kekok untuk menguruskan anak mereka tanpa bantuan daripada pembantu.

Menurut Wawa, dia dan suami akan bergilir-gilir menjaga Attar sekiranya mereka bekerja pada waktu yang berlainan.

"Kalau boleh, saya dan suami ingin membesarkan Attar bersama dan biarlah dia membesar di depan mata kami.

"Namun, bila kami berhadapan dengan kekangan masa dan jadual, saya akan menyerahkan tugas itu kepada mak saya.

"Sekurang-kurangnya, dia berada dalam jagaan baik bersama mak kerana saya memang takut nak berikan hak jagaan kepada orang luar," katanya yang berkahwin pada 25 Februari 2012.

Jelas Wawa, di usia ini, anak lelakinya itu sudah mula menunjukkan tumbesaran dan perkembangan yang baik.

"Sekarang, Attar sudah pandai merangkak dan saya tidak sabar untuk lihat dia berjalan dan melalui peringkat demi peringkat tumbesaran," katanya lagi.


Lebih selektif

Melalui tempoh berpantang yang sepatutnya, Wawa juga membuat keputusan untuk berehat seketika dalam bidang lakonan buat sementara waktu.

Keputusan itu dibuat setelah memikirkan fokus kepada anak yang baharu sahaja dilahirkan dan komitmen terhadap keluarga.

Namun, sejak beberapa bulan lalu, Wawa kembali aktif dalam bidang lakonan dan turut terlibat dalam penggambaran drama.

Jelas Wawa, dia kini sedang menjalani penggambaran drama, Cerita Cinta Kita, yang diterbitkan syarikat suaminya sendiri, Respected Citizen Communication.

"Selepas berehat panjang, saya mula menjalani penggambaran bersama suami. Pun begitu, jangan ingat saya hanya mahu bergandingan bersama suami sahaja.

"Namun, sehingga kini, belum ada tawaran yang berkenan di hati. Saya memang lebih selektif kerana imej dan status saya kini. Saya tidak menolak untuk berlakon dengan lelaki lain, namun biarlah ia bersesuaian dengan saya.

"Pun begitu, suami tidak pernah melarang atau meletakkan sebarang syarat untuk saya kembali aktif. Saya perlu lebih berhati-hati untuk menjaga hati suami," katanya yang
mengakui Aeril adalah suami yang cukup baik dan memahami.

Tambah Wawa, dia juga tidak menolak untuk bekerjasama dengan produksi lain sekiranya sesuai dengan dirinya kini yang telah berhijab sepenuhnya.

"Saya faham, kalau asyik dengan suami dalam lakonan, peminat akan bosan pula," katanya yang turut dilantik sebagai duta pakaian Muslimah, Minazboutique, sejak Januari lalu.

Drama bersiri 22 episod ini akan menemui penonton di saluran TV3 bermula 28 Mei hadapan.

Dalam drama ini, Wawa menggalas watak sebagai anak orang kaya yang jatuh cinta dengan lelaki biasa, lakonan Aeril.

Bagaimanapun, percintaan mereka itu mendapat tentangan keluarga yang menganggap mereka tidak sepadan.







No comments:

Post a Comment