SEOUL: Korea Selatan semalam mendakwa menemui sebuah pesawat tanpa pemandu tidak dikenali terhempas di salah satu pulau di sempadannya, pada hari sama kedua-dua negara Korea Selatan dan Korea Utara berbalas tembakan meriam di sempadan maritim yang menjadi pertikaian.
Bangkai pesawat terbabit ditemui di Pulau Baengnyeong, yang berada di selatan sempadan maritim, mencetuskan kecurigaan ia mungkin milik Korea Utara.
“Pihak berkuasa mengambil bangkai pesawat itu untuk analisis,” kata seorang jurucakap kementerian pertahanan.
Ketika latihan, Korea Utara melepaskan kira-kira 500 bedilan meriam, 100 daripadanya jatuh di perairan Korea Selatan. Korea Selatan membalas dengan menembak 300 bedilan ke laut sempadan Korea Utara dan turut menghantar jet pejuang.
Korea Utara mempamerkan satu set apa yang disifatkan sebagai pesawat tanpa pemandu ringkas ketika perarakan tentera besar-besaran di Pyongyang Julai lalu ketika meraikan ulang tahun ke-60 berakhirnya Perang Korea.
Pada Mac tahun lalu, media tempatan melaporkan pemimpin Kim Jong-Un memantau satu latihan tentera menggunakan ‘pesawat tanpa pemandu paling tepat’. Gambar foto latihan yang disiarkan televisyen tempatan menunjukkan apa yang menyerupai pesawat tanpa pemandu tentera udara itu terbang ke kawasan pergunungan dan meletup.
Yonhap berkata bentuk dan saiznya yang ditemui di Pulau Baengnyeong adalah sama dengan apa yang ditemui bulan lalu berhampiran bandaraya utara Paju, berhampiran sempadan darat dengan Korea Utara. Pesawat Paju itu memiliki sayap segi tiga dengan ukuran 1.9 meter, kata agensi yang memetik sumber kerajaan. Ia menggunakan enjin kuasa gas buatan Jepun manakala bahagian lain daripada China.
Sumber kerajaan berkata, ia memiliki sebuah kamera yang mengambil gambar rakaman dari udara lebuh raya kebangsaan dari Paju ke Seoul dan istana presiden, Blue House di ibu negara. – AFP
No comments:
Post a Comment