Tuesday, April 15, 2014

Kanak-kanak mati bukan kena dera


Kuching: Kematian Elysha Natasha Mohd Shukri dipercayai menjadi mangsa dera di Kampung Sageng, Simunjan sejak tiga hari lalu, disahkan berpunca jangkitan kuman pada organ dalaman. 

Ia disahkan hasil bedah siasat sepasukan pakar forensik Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini yang turut mendapat bantuan pakar pergigian dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam. 


Malah, bedah siasat dijalankan turut mengesahkan kesan kecederaan ditemui pada tubuh budak perempuan berusia enam tahun itu sebagai kesan kecederaan biasa, termasuk kesan gigitan pada tangan kirinya yang dikenal pasti bukan disebabkan gigitan individu dewasa, sebaliknya sepadan dengan gigi kanak-kanak sebayanya. 
Kanak-kanak mati bukan kena dera
Ibu Elysha Natasha, Nurliza Mustapa (kanan) dipapah selepas pengebumian anaknya, di Kampung Semayau.
 

Ketua Polis Daerah Simunjan, Deputi Superintendan Choo Yii Kok, berkata hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan mencurigakan ditemui pada tubuh kanak-kanak itu. 

Tiada penderaan seksual 

Katanya, tidak ditemui juga sebarang kemasukan objek atau koyakan pada bahagian kemaluan kanak-kanak berkenaan yang boleh mengaitkan kematiannya dengan penderaan seksual atau penderaan fizikal lain. 

“Hasil laporan forensik menyatakan tiada sebarang unsur mencurigakan dalam kes kematian kanak-kanak berkenaan, malah kesan kesan gigitan ditemui pada tangan kirinya sepadan dengan kesan gigitan gigi kanak-kanak.
“Dalam laporan sama turut dimaklumkan kematian kanak-kanak itu berpunca daripada kesan jangkitan kuman pada organ dalamannya hingga menyebabkan beberapa organ dalaman gagal berfungsi, selain berlaku darah keluar mengikut saluran kencing,” katanya ketika dihubungi BH, di sini semalam. 

Dalam kejadian Khamis lalu, Elysha Natasha dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Simunjan dalam keadaan lemah oleh bapa saudaranya kira-kira jam 8 malam sebelum disahkan meninggal dunia selepas satu setengah jam menerima rawatan. 

Bagaimanapun, petugas di unit berkenaan menemui pelbagai kesan kecederaan meragukan pada tubuh mangsa, termasuk kesan gigitan pada tangan kiri dan pendarahan di alat kemaluannya dipercayai didera sebelum menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan memaklumkan kejadian. 

Yii Kok berkata, susulan laporan bedah siasat, polis menganggap siasatan kematian kanak-kanak itu sebagai selesai dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

No comments:

Post a Comment