Tuesday, April 22, 2014

Nak kurus bukan hanya 12 minggu

Topik kali ini berkenaan soalan yang selalu kita dengar - kenapa saya tidak kurus-kurus?
Pelbagai jawapan dan teori yang diguna pakai untuk memudahkan pemahaman dan melegakan hati individu yang tidak kurus-kurus. Berikut beberapa mitos topik kali ini: 
Inginkan perubahan mendadak! 

Perubahan tahap kecergasan atau fizikal anda mungkin mengambil masa satu, lima atau 10 tahun. Bagaimanapun, ramai yang inginkan perubahan drastik segera dalam 12 minggu.
Impian itu bukan tidak boleh dicapai, tetapi kurang praktikal kerana masih ramai yang tidak mempunyai ilmu mahupun disiplin untuk mencapainya. 
Contoh paling mudah adalah diet segera. Apakah hasilnya? Mereka akan cepat putus asa kerana susah dan membosankan dan bagi mereka yang berjaya sekali pun, apakah hasilnya selepas 12 minggu? 

Ia menyebabkan ramai yang kembali kepada cara hidup asal dan lama-kelamaan mereka juga kembali kepada bentuk fizikal sebelum diet. 

Adakah ia salah genetik? 

Jawapannya mungkin ya atau tidak. Berdasarkan pengalaman saya, secara ringkas berikut adalah faktor kegagalan dalam pencapaian sasaran kecergasan seperti menurunkan berat badan, menambah berat badan atau membentuk bentuk badan. 

Antara faktor yang dikenal pasti adalah kurang sabar atau sasaran yang ditetapkan tidak realistik. Selain itu, faktor kurang disiplin atau maklumat berkaitan juga menjadi punca. Lebih malang jika seseorang itu hanya bergantung kepada aliran tertentu atau janji kosong. 

Kurang ilmu selalu jadi penghalang 

Adakah anda pernah mendengar mitos seperti ‘makan yang ini bagus untuk kesihatan’ atau ‘...pil ini akan menolong awak, sudah pasti!’. 

Semua kata-kata manis itu mungkin ada benarnya jika anda mengambil ‘makanan yang sihat’ dicampur pula dengan ‘pil kesihatan’. 

Tetapi, jika tidak dapat melupakan makanan segera atau mengambil nasi setiap hari, hasilnya tidak ke mana. 

Lebih penting, dalam usaha mencapai kecergasan atau matlamat kesihatan adalah mengetahui pelan asas pemakanan dan melakukan senaman dengan baik. 

Anda tidak boleh lari daripada kenyataan itu dan belajar cara melakukan pengiraan kalori masuk dan keluar untuk tubuh badan. 

Ini kerana tiada pil magis yang dapat memberikan anda tubuh badan yang langsing serta-merta. Percayalah, kalau ada tentunya masyarakat seluruh dunia sudah menggunakannya. 

Apa yang menjadi masalah, ramai yang kurang memahami asas berkenaan dan tanpanya, amat susah untuk melakukan perubahan bagaikan memandu dalam gelap. 

Jadi, dapatkan maklumat mengenai asas pemakanan dan kesihatan kerana ia salah satu gaya hidup. Ini kerana jika kita memiliki pengetahuan asas, amat mudah untuk membezakan pengaruh tertentu bagi mengurangkan berat badan. 

Kurang bersenam dan tidak pergi gimnasium? 

Sememangnya disiplin penting dalam apa jua yang kita lakukan, tetapi kualiti dan usaha juga memainkan peranan. Anda tidak perlu menjadi sempurna untuk semua perkara dan makan seimbang setiap kali atau bersenam setiap hari. Pastikan juga anda tidak jemu melakukannya. 

Ia akan lebih menye­ronok­kan jika anda memahami konsep jumlah kalori yang perlu dibakar untuk mengurangkan berat dalam tempoh tertentu. 

Selain itu, pilih senaman yang digemari. Tidak semestinya dengan sentiasa berjoging, sebaliknya pilih senaman aerobik (kardio) dan anaerobik yang digemari dan pastikan ia seronok dilakukan. 

Mulakan dengan perlahan-lahan 

Tiada sesiapa yang boleh mengubah cara pemakanan dan gaya hidup dalam sekelip mata. Lebih baik anda membuat perubahan secara perlahan-lahan, tetapi secara berterusan. 

Contohnya pengambilan nasi lemak. Jika sekarang anda makan nasi lemak setiap hari, bertukar kepada lima kali seminggu untuk dua hingga tiga minggu pertama. 

Selepas itu, kurangkan lagi atau gantikan nasi lemak (yang penuh dengan kalori) dengan nasi putih. 

Ini pilihan anda! 

Kesimpulannya, kecergasan atau gaya hidup adalah pilihan sendiri, bukan orang lain. Itu keindahan kecergasan dan kesihatan. 

Semua­nya terletak di tangan anda. Anda yang menentukan. Tidak kisah keadaan anda hari ini, anda tetap boleh mencapai impian anda, tetapi yang penting perlulah: 

1> Tetapkan impian yang realistik 
2> Mempunyai ilmu untuk mencapai matlamat 
3> Jadikan ia satu kehidupan bukan hanya untuk 12 minggu 
4> Pastikan ia seronok! 
5> Hidup dalam keseimbangan supaya tidak cepat bosan 
6> Beri masa kepada diri anda 

Berjaya kurus atau sebaliknya, semuanya usaha sendiri kerana tiada se­orang pun yang perlu dipersalahkan. Merancang dan mendapatkan ilmu yang tepat sebelum melakukan sesuatu menjadi asas paling penting dalam mengurangkan berat badan.

No comments:

Post a Comment