Thursday, April 10, 2014

'Usah tuduh-menuduh dalam misi mencari MH370'


Datuk Seri Liow Tiong Lai


KUALA LUMPUR - Tidak seharusnya wujud tuduh-menuduh dalam misi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.   

Menyifatkan insiden itu sebagai 'misteri yang tidak pernah berlaku sebelum ini', Liow berkata kejadian itu lebih serius daripada bencana pesawat, menyaksikan bantuan rentas sempadan iaitu kerjasama serantau dan antara benua membabitkan laut dan udara oleh 26 negara.
  
"Ia tidak pernah merupakan operasi menyelamat hanya satu negara walaupun dari hari pertama, apabila banyak negara menawarkan bantuan kepada Malaysia dan negara yang secara sukarela menawarkan bantuan menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR)," katanya.
   
Beliau berkata demikian pada majlis sembahyang khas beramai-ramai untuk MH370 di Wisma MCA di sini hari ini anjuran MCA dengan kerjasama Persatuan Buddhist Malaysia.
   
Liow berkata, Malaysia bersyukur negara yang terbabit dalam operasi mencari MH370 telah mengetepikan semua perbezaan untuk misi kemanusiaan itu.

Semangat kemanusiaan dan keihsanan yang dipamerkan mengingatkan kita bahawa tanpa mengira perbezaan politik, kepercayaan dan negara, kita masih kekal sebagai satu bangsa - umat manusia, katanya.
   
"Kejadian ini menyebabkan kita lebih menghargai kehidupan kita. Ia mengingatkan kita untuk lebih menyayangi diri kita, menghargai keluarga dan rakan-rakan kita.
   
"Dengan berat hati, kita masih lagi tetap berharap. Marilah kita menghadapi cabaran ini dan sama-sama berkongsi kesedihan serta dapat menghadapi kesukaran ini," katanya.
   
Upacara sembahyang itu turut dihadiri anggota keluarga penumpang MH370 dari Malaysia dan China dan Duta Besar China ke Malaysia, Dr Huang Hui Kang dan kira-kira 300 penganut Buddha.  - Bernama

No comments:

Post a Comment