Thursday, April 10, 2014

Di Tanya 200 Soalan Sehari

Foto

Lunak suaranya ketika mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran mampu menarik perhatian sesiapa saja.
Bait-bait kata begitu lancar ketika menyampaikan tazkirah menyentuh perasaan bertajuk Pendakwah: Untung dunia, untung akhirat dan Cintai Rasulullah pada malam kemuncak program Pencetus Ummah (PU) yang disiarkan di Astro Oasis, menyerlahkan kewibawaan sebagai pendakwah sekali gus melayakkan Muhammad Hafiz Mohd Haneefa, 32, muncul juara.
Bagi yang sudah mengenali dirinya, ramai yang tertarik dengan penampilan sederhana serta kata-kata penuh berhemah setiap kali melontarkan pendapat. Malah raut wajah tenang disulami senyuman manis di bibir membuatkan Muhammad Hafiz yang mesra disapa Hafiz mudah didekati sesiapa saja.

Tidak salah jika dikatakan dia memiliki pakej pendakwah era moden masa kini, sekali gus mampu menarik khalayak daripada pelbagai peringkat usia.
Ketika ditemui di Wisma Hafiz baru-baru ini, katanya, usahlah terlalu memuji kerana masih banyak perkara yang harus dilakukannya.

“Sejujurnya saya langsung tidak menyangka penerimaan orang ramai terhadap program ini begitu hebat. Ke mana saya pergi pasti ada  mengenali, menghulurkan tangan bersalam, menegur sapa atau bertanyakan soalan mengenai agama, baik kanak-kanak, remaja mahupun dewasa.

“Saya melihat populariti ini sebagai satu peluang untuk lebih mendekatkan diri bukan saja kepada masyarakat, tetapi pada Yang Maha Esa,” katanya memulakan bicara.

Selepas bergelar juara, Hafiz mengakui masih kekok dan belum dapat membiasakan diri dengan peminat. Hingga kini, dia masih cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran serta membalas salam mereka yang datang menegur. Ramai yang berjumpa bukan setakat bertanya khabar dan mengambil gambar, tetapi terus bertanya kesulitan mereka mengenai agama.

“Inilah masa saya memainkan peranan sebaik mungkin dengan membantu menyelesaikan masalah setakat termampu walaupun soalan itu datang secara spontan terutama ketika terserempak.

“Ada masa saya tidak mampu melayan semua soalan. Sehingga kini lebih 200 soalan setiap hari dikemukakan peminat dalam laman Facebook, itu belum termasuk khidmat pesanan ringkas. Apa yang pasti saya akan cuba menjawab semua soalan walaupun mungkin mengambil masa,” ujarnya.

Bagi Hafiz, media sosial seperti Facebook (FB), Twitter dan YouTube berpengaruh besar terhadap anak muda. Jika dulu FB hanya dibiarkan atas nama saja tetapi kini dia semakin rajin melayarinya kerana pendekatan dakwah sebegini lebih diterima selain cepat dan mudah.   

Pada masa sama, Hafiz bersama rakan-rakan PU yang lain berusaha untuk mengadakan sebuah saluran dakwah di laman YouTube membabitkan soal jawab dengan penonton.

“Video ini hanya mengambil masa tiga hingga empat minit. Jika terlalu lama dikhuatiri tidak ramai sanggup meluangkan masa. Dengan kerjasama PU ini, ilmu lebih cepat dan mudah sampai kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya yang turut akan mengendalikan program terbitan Astro tidak lama lagi.
 

Terima kasih bapa

Bapa kepada dua cahaya mata, Puteri Humaira dan Putera Emad ini mengakui proses pembelajaran sebagai pendakwah bermula sejak menuntut di Sekolah Agama Kampung Kuantan, Klang lagi.

Sejak di tingkatan empat, Hafiz sering mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan pidato. Sejak itu dia diajar berhadapan dengan orang ramai, yakin ketika menyampaikan syarahan serta petah berkata-kata. 

Bagi Hafiz, ayah, Muhammad Haneefa Hussin, 57, menjadi inspirasi dalam bidang dakwah. Sejak kecil dia melihat kesungguhan serta kegigihan ayah membangunkan Wisma Hafiz yang  bermula hanya sebagai pusat tuisyen untuk pelajar Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Lama-kelamaan disebabkan menyediakan usrah serta qiamullail kepada pelajar, ramai ibu bapa menghantar anak mereka sehingga tidak dapat menampung jumlah pelajar yang terlalu ramai. 

“Dulu, sekolah ini hanyalah sebuah pusat tuisyen yang menyediakan mata pelajaran Sains dan Matematik serta kelas mengaji al-Quran sebagai pembelajaran sampingan. Tetapi, berkat usaha ayah, ia berkembang menjadi sebuah Tadika Hafiz, Sekolah Rendah Hafiz, Sekolah Menengah Hafiz dan Kolej Hafiz yang menawarkan pengajian peringkat diploma,” katanya yang menjadi pelajar perintis untuk kelas akademik pada 1993. 

Pada masa inilah Hafiz mula menghafaz al-Quran sehingga tamat tingkatan lima dan terus menyambung pengajian Diploma al-Quran di Universiti al-Azhar, Mesir sebelum memperoleh Ijazah Pengajian al-Quran dari Universiti Madinah yang ditanggung sepenuhnya kerajaan Madinah. 

Ketika empat tahun di Mesir, ayah yang mempunyai kelulusan dalam bidang Fizik dan Matematik mengambil kelas bahasa Arab sebagai pengukuhan untuk mendalami al-Quran. 

“Memang saya sangat berbangga melihat ayah bersemangat belajar bahasa Arab sedangkan ketika itu dia tidak mempunyai latar belakang dalam bahasa itu.

“Dari situ saya nampak kesungguhan ayah ingin membangunkan pusat tahfiz dalam melahirkan generasi celik al-Quran. Walaupun banyak cabaran ketika menubuhkan sekolah ini antaranya mendapat bantahan penduduk, akhirnya ia dapat direalisasikan juga,” katanya.

  Mengimbas kenangan lalu, ujar anak sulung lima beradik ini, sejak kecil dia bercita-cita menjadi seorang doktor. Malah didikan ayah yang begitu mementingkan mata pelajaran Sains dan Matematik di rumah selain ilmu al-Quran menyebabkan dia memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM. Selepas menerima tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, hatinya mula berbelah-bahagi. 

“Saya berada dalam dilema sama ada meneruskan minat dalam bidang perubatan atau al-Quran. Kata-kata ayah yang inginkan saya menjadi tahfiz bagi melahirkan lebih ramai doktor atau golongan profesional celik al-Quran menyebabkan saya berubah fikiran. Pun begitu keputusan ini dibuat selepas saya melakukan solat Istikharah dan mendapat petunjuk daripada-Nya,” kata Hafiz yang menyifatkan sekolah ini adalah perjuangan dan pengorbanan bapa bagi meneruskan kesinambungan dalam bidang al-Quran.

Menyifatkan bidang dakwah satu pilihan yang tepat, Hafiz bersyukur kerana Allah banyak memberi dorongan terhadap pilihan kerjayanya ini. Ketika menyambung pengajian di Madinah, Hafiz berpeluang menjadi mutawif Tabung Haji dan dari situ dia mendapat banyak pengalaman berhadapan dengan orang ramai.

Begitu juga ketika menjadi guru agama sepenuh masa pada 2009, dia banyak menimba pengalaman berhadapan dengan realiti kehidupan serta bergaul dengan pelbagai peringkat masyarakat. 

Menyertai program Pencetus Ummah juga kerana dorongan isteri, Nor Kamariah Abdul Manaf yang juga guru di Kolej Hafiz selepas tidak dapat menyertai program Imam Muda kerana sudah lewat usia.   

Sebagai juara Pencetus Ummah dan Timbalan Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (IPTAS), Hafiz tekad mahu membantu 150 sekolah tahfiz di Selangor dari segi menyediakan silibus pembelajaran bersesuaian. 


Tali pinggang hitam taekwondo

Selain bergelar tahfiz, Hafiz juga mempunyai tali pinggang hitam dalam seni bela diri taekwondo yang dipelajari sejak berusia lapan tahun. Dia yang juga Naib Pengerusi Taekwando Negeri Sembilan pernah meraih Naib Johan Kebangsaan Taekwando serta menjadi tenaga pengajar di situ.

“Selain mempelajari seni bela diri untuk mempertahankan diri, ramai rakan-rakan saya bukan beragama Islam. Menerusi bahasa, perbuatan serta budi pekerti yang baik ia juga satu bentuk dakwah kepada orang lain.

“Ada juga rakan yang sudah memeluk Islam kerana ingin mengetahui keindahan Islam selepas melihat cara hidup saya sekeluarga,” katanya yang kini menyambung pengajian doktor falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia dan menyiapkan tesis mengenai al-Quran dan Sunnah. 

Hafiz bersyukur kerana mempunyai ibu bapa yang banyak memberi inspirasi serta memilih jalan terbaik sehingga menjadi seperti sekarang. Dia masih ingat sejak kecil bapanya menyemai benih cinta kepada Rasulullah SAW dengan mengamalkan cara hidup Nabi Muhammad bukan saja menerusi penampilan tetapi pemakanan, perbuatan dan perkataan. Dia bersama empat adik yang lain langsung tidak berpeluang mendengar atau menonton perkara yang boleh melalaikan menerusi lagu dan juga filem. 

“Seingat saya, menonton televisyen juga hanya pada rancangan bercorak keagamaan dan berita. Selebihnya kami lebih banyak membaca al-Quran serta bahan ilmiah. Dengan sebatang rotan di tangan, ayah akan pastikan kami mengaji, tidak tinggalkan solat dan puasa serta bersungguh-sungguh dalam akademik terutama Matematik dan Fizik kerana ayah juga guru dalam dua mata pelajaran itu.

“Malah saya dan adik-beradik biasa dirotan sebagai bentuk hukuman,” katanya yang mengakui keberkatan hidup datangnya daripada doa ibu dan bapanya setiap hari.

No comments:

Post a Comment