Thursday, April 3, 2014

Najib lancar ASB2 dana 10b unit

NAJIB Tun Razak, Ahmad Sarji dan Hamad Kama Piah Che Othman serta orang ramai mengaminkan doa memohon agar kehilangan pesawat MH370 dapat ditemui semula sempena majlis pelancaran Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) di pekarangan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MD. SHAHJEHAN MAAMIN

KUALA LUMPUR 2 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan dana Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) yang diuruskan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan saiz dana 10 bilion unit.
ASB2 yang merupakan dana berharga tetap RM1 seunit dibuka kepada bumiputera berusia seawal enam bulan dengan had maksimum kepada Akaun Dewasa (umur 18 tahun ke atas) adalah 200,000 unit manakala akaun Bijak (6 bulan hingga 18 tahun) adalah 50,000 unit.
Menurut Perdana Menteri, ASB2 merupakan sebahagian daripada Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang mana salah satu daripada strateginya adalah memantapkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat.

Jelas beliau, sasaran ASB2 adalah golongan muda daripada generasi Y agar mereka dapat mengamalkan pengurusan kewangan yang bijak serta membuat pelaburan tepat untuk masa hadapan.Saya juga ingin memaklumkan insentif kepada pemegang unit ASB2 bermula hari ini sehingga 31 Disember 2014, sebanyak 10 unit ASB2 percuma akan dikreditkan ke akaun pemegang unit, ini tertakluk kepada unit-unit yang masih ada tetapi saya difahamkan PNB memperuntukkan sebanyak 10 juta unit untuk tujuan ini," katanya dalam majlis pelancaran ASB2 di Stadium Merdeka di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid; Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Dalam majlis itu, Najib turut mengumumkan insentif tambahan kepada mereka yang hadir ke Stadium Merdeka hari ini dan mendaftar sebagai pemegang unit ASB2 iaitu baucar bernilai RM50 bagi tujuan pembelian unit-unit ASB2.Menurut Najib, selain memantapkan pemilikan pegangan saham bumiputera dalam sektor korporat, ASB2 merupakan amanah yang dilaksanakan kerajaan dan PNB demi kepentingan serta kemakmuran bangsa dan negara.
“Pemilikan saham dalam bidang korporat boleh dilihat dari dua sudut, pertamanya sudut makro yang mana pada waktu Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan, kita telah sasarkan pemilikan ekuiti bumiputera untuk mencecah 30 peratus.

“Keduanya, kita boleh melihat dari sudut individu iaitu bagaimana pemilikan saham dan juga unit-unit saham amanah boleh membantu kita sebagai individu dari sudut jaminan masa hadapan dan kesejahteraan hidup yang diidamkan," katanya.

Tegas beliau, golongan muda tidak sewajarnya mengamalkan gaya hidup mewah yang boros sehingga dibelenggu hutang, sebaliknya, golongan tersebut perlu merancang masa hadapan dan menguruskan kewangan secara bijak untuk kesejahteraan pada masa hadapan.
“Statistik Jabatan Insolvensi pada tahun 2012 menunjukkan sebanyak 19,575 orang diisytiharkan muflis yang 48 peratus daripadanya adalah kaum bumiputera, 33.2 peratus kaum Cina manakala kaum India sebanyak 14.1 peratus.

“Dari segi individu, golongan berusia 33-44 tahun mencatatkan jumlah peratus muflis tertinggi iaitu 36.6 peratus diikuti golongan berusia 45-54 tahun sebanyak 29.1 peratus dan golongan berusia 25-34 tahun sebanyak 20 peratus," katanya.
Ujarnya, walaupun golongan berusia 25-34 tahun berada dalam peratusan rendah, kesan lebih besar dihadapi golongan itu kerana baru memulakan kerjaya dan masih dalam fasa membina masa hadapan- Utusan 


No comments:

Post a Comment