Wednesday, April 2, 2014

‘Kuatkan semangat’

Putrajaya: “Kami tahu risiko kehilangan suami tercinta setiap kali suami keluar bekerja kerana ada kemungkinan dia tidak akan kembali. Namun, mental kami memang sudah dididik untuk berdepan sebarang kemungkinan,” kata Nor Haslina Hashim, 47, iaitu balu Allahyarham Mejar (B) Azlizan Abdul Manas.
Allahyarham Azlizan ialah juruterbang yang terbabit dalam nahas helikopter terhempas di Kampung Atong, Jerangsang, Kuala Lipis, Pahang pada 3 Mac 1997.
Nor Haslina yang ditemui semalam berkata, dia sudah bersiap sedia dari segi mental termasuk jika terpaksa berdepan sebarang kemungkinan dan risiko setiap kali suaminya keluar bekerja.
Menurutnya, dia akui langsung tidak menangis sejurus dimaklumkan arwah suami maut dalam nahas helikopter itu.
“Saya pernah berjanji dengan arwah, jika menerima berita tidak baik, saya tidak akan sesekali menitiskan air mata.Namun, saya tidak dapat menahan air mata apabila jenazah suami tiba di depan mata.

“Saya tidak dapat lupakan saat itu namun, pada masa sama saya harus kuat demi anak-anak yang ketika itu masing-masing berusia lima dan tujuh tahun,” katanya ketika ditemui media di sini, semalam.

Nahas helikopter itu turut mengorbankan Pengerusi Kumpulan DRB Hicom pada ketika itu Allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad dan isteri Puan Sri Rohana Othman.
Nor Haslina berkata, dia terpanggil untuk menceritakan peristiwa sedih itu kerana baginya pengalaman kehilangan suami dalam nahas udara perlu dikongsi bersama.
“Bukan mudah menghadapi detik sukar itu malah, saya terpaksa berpindah rumah bagi melupakan sejenak peristiwa itu.
Foto
NOR Haslina

Malah, saya menjauhkan anak-anak daripada terus mengingati pemergian bapa mereka.
“Pada waktu itu, anak-anak dan ibu bapa menjadi penguat semangat saya.
Justeru, saya amat faham situasi yang dialami ahli keluarga anak kapal dan penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 buat masa ini,” katanya.
Katanya, dugaan dihadapi ahli keluarga MH370 pasti lebih berat kerana sehingga kini situasi sebenar penumpang dan anak kapal pesawat itu masih lagi samar dan belum diketahui.
Dalam pada itu, Nor Haslina berkata, dia berharap keluarga penumpang dan anak kapal MH370 supaya terus berdoa agar diberi kekuatan dan ketabahan bagi meneruskan kehidupan.
“Jika benar mereka sudah pergi, redakanlah.

Apa yang penting, doakan yang terbaik untuk mereka selain doakan kita yang hidup ini supaya terus diberi kekuatan bagi menghadapi hari mendatang.

Terima qadak dan qadar yang sudah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Kamarul Mizan Ipit, 50, isteri kepada Mejar (B), Azhari Ghazali yang terselamat dalam nahas helikopter di Laut China Selatan pada 1996 berkata, dia menasihatkan mana-mana pihak supaya tidak menuding jari serta menyalahkan pihak lain dalam tragedi membabitkan pesawat MH370.
“Kehilangan itu satu perkara yang tidak dapat digambarkan.

Saya yang berdepan kehilangan suami selama lima jam pun rasa terseksa, inikan pula yang sudah lebih 20 hari.

Cuma jangan tuding cari menyalahkan sesiapa.

“Apa yang penting, kita terus maju ke hadapan dan hadapi hidup ini dengan tabah.

Kita semua akan ‘pergi’, cuma masa dan ketikanya saja berbeza.

“Jika mereka benar-benar sudah pergi, itu hakikat yang perlu kita terima.

Sudah sampai masanya,” katanya.


No comments:

Post a Comment