Tuesday, April 1, 2014

Raja Dr Nazrin sebak

Ipoh: Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah, hampir menitis air mata dan terpaksa memberhentikan dua kali titah ucapannya kerana merasa sebak, berikutan kehilangan pesawat MH370 ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-13 di sini, semalam. 

Nada suara baginda berubah sebak sebaik membacakan doa memohon Allah memakbulkan doa agar operasi mencari pesawat berkenaan berjaya, sekali gus merungkai kekusutan sedang dihadapi negara sekarang, seterusnya menghentikan segala spekulasi mengenai tragedi berkenaan. 


Bertafakur seminit 

Raja Nazrin kemudian sekali lagi hampir tidak dapat meneruskan titahnya ketika berdoa memohon Allah SWT meringankan tanggungan kepiluan keluarga penumpang dan anak kapal MH370 serta menganugerahkan kekuatan kepada mereka menghadapi dugaan berat itu, selain dikurniakan penggantian terbaik daripada apa yang sudah diambil-Nya. 

Raja Dr Nazrin sebak
Raja Dr Nazrin Shah berhenti seketika ketika menyampaikan titah ucapan perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Perak Ke-13. Hadir sama, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim


Baginda kemudian menitahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dan hadirin berdiri dan bertafakur selama seminit bagi merakamkan rasa simpati dan dukacita terhadap keluarga penumpang dan anak kapal MH370 yang dianggap baginda sebagai tragedi amat menyayat hati dan diselubungi pelbagai misteri. 

“Langit negara diselubungi mendung kedukaan sejak berlakunya tragedi malang MH370. Pahit penantian tentunya lebih dirasai oleh ahli keluarga dan sanak saudara kepada 239 anak kapal dan penumpang. 
“Mereka terus berdoa dan meletakkan harapan, kita juga sama berdoa dan meletakkan harapan agar operasi mengesan pesawat yang hilang menemui kejayaan,” titahnya. 

Hargai usaha kerajaan 

Raja Nazrin bertitah, persidangan itu turut merakamkan penghargaan di atas segala usaha yang sedang dirintis oleh Kerajaan Persekutuan dengan pelbagai negara dan pelbagai pihak mengesan kehilangan pesawat itu. 

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang termasuk 152 warga China, dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pada 24 Mac lalu bahawa selepas 17 hari pesawat itu hilang, berdasarkan maklumat satelit dan maklumat lain, pihaknya percaya penerbangan pesawat MH370 itu berakhir di selatan Lautan Hindi. 

Raja Nazrin bertitah, pengumuman itu amat berat untuk diucapkan oleh lidah dan lebih berat untuk diterima oleh ahli keluarga dan sanak saudara penumpang dan anak kapal MH370 kerana ia amat meluluhkan hati dan menghiris perasaan.

No comments:

Post a Comment