KANGAR - Keluarga penumpang dan kru MH370 yang hilang kini berdepan dengan situasi sukar yang dikenali sebagai 'grie' atau dalam situasi kehilangan orang tersayang dalam kehidupan.

Pakar Psikologi Kaunseling (Terapi Tingkah Laku Kognitif) Universiti Malaysia Perlis, Dr Huzili Hussin berkata, apabila berdepan dengan situasi ini, ahli keluarga akan menghasilkan reaksi tertentu yang menggambarkan kehilangan yang dirasai itu.

Katanya, dalam keadaan ini, ahli keluarga akan menonjolkan empat perubahan dalam diri nereka iaitu perasaan, fizikal, pemikiran dan tingkah laku yang mana ia mengambil tempoh masa agak lama untuk pulih.

Menurutnya, dalam konteks biasa, mereka yang berdepan dengan situasi ini akan mencapai satu tahap tertentu untuk kembali bertenang dan menerima hakikat kehilangan yang mana biasanya dalam tempoh 15 hari pertama.

Huzili Hussin“Namun dalam konteks MH370, situasi dihadapi ahli keluarga lebih teruk dari biasa bila mana kehilangan itu tidak nyata, yakni tiada mayat atau petunjuk jelas dan ini akan membesarkan lagi gelombang kekeliruan dan ketidakpastian dalam diri mereka.

“Ia termasuk spekulasi yang bertebaran di media sosial dengan pelbagai andaian yang akhirnya akan meningkatkan tahap ingin tahu keluarga dan sekiranya dibiarkan, ia boleh menimbulkan masalah-masalah lain yang lebih serius, seperti kemurungan, putus harapan, masalah memori dan konsentrasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Dr Huzili, yang juga Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM) universiti itu berkata, dalam mengendalikan kes sebegini, aspek menjaga kebajikan seperti yang dilakukan kerajaan dan Malaysia Airlines adalah tepat serta boleh membantu mengurangkan tekanan dialami keluarga.

“Saya melihat usaha kerajaan menyediakan dua kaunselor untuk setiap keluarga amat baik kerana mereka (kaunselor) akan lebih fokus terhadap emosi dan perasaan keluarga dalam kelompok yang lebih kecil.

“Mengikut proses kaunseling, tumpuan dan fokus adalah proses yang terbaik untuk menghuraikan ketidakpastian yang wujud dan pada masa sama kaunselor juga harus menggunakan bahasa yang betul dan menenangkan,” katanya.

Mengulas mengenai keluarga dari China yang melakukan tindak balas negatif, beliau berkata, nilai spiritual merupakan antara aspek yang tidak harus diketepikan.

Setiap dari kita jelasnya, mempunyai manifestasi agama yang berbeza dan sewajarnya ia digunakan dalam keadaan seperti ini.

“Misalnya, bagi keluarga beragama Islam, penganjuran solat hajat, bacaan Yasin dan zikir yang diadakan sebelum ini, membantu mengurangkan tekanan keluarga dan saya merasakan agama lain wajar melakukan perkara sama.

“Penggunaan kain rentang dan sebagainya bukan cara terbaik menyelesaikan masalah ini dan saya tidak menolak ia dilakukan pihak berkepentingan,” katanya.

Ditanya tentang tempoh masa diperlukan untuk meredakan isu ini katanya, 100 hari adalah tempoh terbaik. Itulah proses di mana manusia boleh mencapai ketenangan - Sinar