PETALING JAYA 2 April - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan mengadakan Ops Kesan Perkeso 2014 secara besar-besaran di seluruh negara mulai 5 Mei ini terhadap majikan yang gagal mendaftar pekerja di bawah caruman pertubuhan itu.
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk K. Selvarajah berkata, sehingga Disember tahun lepas, hanya enam juta pekerja didaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Perkeso, dengan 393,359 majikan yang aktif mencarum kepada skim itu.
Pada tahun lepas juga, sebanyak 3,096 majikan telah dikenakan kompaun hampir RM2.788 juta bagi kesalahan termasuk gagal mendaftar perusahaan, gagal mendaftar pekerja dan lewat melapor kemalangan, katanya kepada pemberita selepas melancar program Pemutihan Ops Kesan Perkeso 2014 di sini hari ini.Beliau berkata, sebanyak 1,827 majikan telah didakwa di mahkamah dengan jumlah denda RM298,800 sepanjang tahun lepas.
"Majikan yang tidak mendaftar boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969," katanya. Selvarajah berkata: Ops Kesan Perkeso itu bertujuan memberi kesedaran kepada majikan tentang tanggungjawab menjaga hal kebajikan pekerja agar tidak diabaikan."
Beliau berkata, mana-mana perusahaan yang belum mendaftar caruman pekerja dinasihatkan supaya berbuat demikian sebelum 1 Mei ini.
Beliau juga berkata badan itu juga telah melaksanakan beberapa inisiatif baharu antaranya Smart Detection" untuk mengesan pekerja yang layak mencarum di bawah prinsip Sekali Layak Terus Layak dengan kerjasama pihak majikan.
"Caruman dibuat bagi mereka yang gajinya kurang daripada RM3,000 sebulan, tetapi jika pekerja yang gajinya melebihi RM3,000 sebulan, dan pernah diberikan caruman sebelum ini, mereka layak serta wajib meneruskan caruman tersebut," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment