KUALA LUMPUR 2 April - Kerajaan China tidak pernah menuding jari mahupun menyalahkan Malaysia atas insiden kehilangan pesawat MH370 dan menghargai segala usaha yang dilakukan untuk mencari pesawat tersebut.
Malah, menurut Duta China ke Malaysia, Dr. Huang Huikang, hubungan dua hala dan jalinan kerjasama antara negara itu dan Malaysia tidak akan terjejas berikutan kejadian itu, sebaliknya yakin hubungan sedia ada akan lebih erat pada masa hadapan.
Beliau turut memuji kerajaan Malaysia yang tidak pernah berputus asa dan berkerja keras untuk mencari pesawat itu walaupun mendapat pelbagai kritikan sejak hari pertama lagi.
Kami (kerajaan) tidak pernah sekalipun marah kepada Malaysia atau mahu memboikot apa-apa. Malaysia dan China seperti keluarga, negara jiran yang begitu akrab. Mengapa mahu salahkan Malaysia sedangkan insiden ini adalah suatu bencana.
Kami sangat terhutang budi dan menghargai semangat serta dedikasi ditunjukkan oleh kerajaan Malaysia dalam menangani isu ini, kami langsung tidak marah malah akan terus bekerjasama dalam apa jua perkara termasuk misi pencarian MH370 ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar khas berhubung pendirian negara itu terhadap kehilangan pesawat MH370 di Kedutaan China di sini hari ini.
Menurut Huikang, kemarahan segelintir rakyat di negara itu berikutan pelbagai spekulasi mengenai kejadian tersebut menyebabkan mereka keliru dan tidak sabar untuk mengetahui nasib yang menimpa orang tersayang.
Perasaan itu adalah normal, mereka juga manusia biasa. Sudah tentu mereka mahu tahu apa yang terjadi. Mereka tentunya tidak senang duduk memikirkan kesudahan yang menimpa orang tersayang.Kerajaan China juga komited dan berusaha sedaya upaya bagi memastikan misi pencarian pesawat dan jawapan kepada pelbagai persoalan berhubung insiden ini terjawab. Sehingga itu, kami juga tidak senang duduk. Ini bukanlah misi pencarian yang mudah," ujarnya.
Beliau berkata, ramai ahli keluarga penumpang China masih berharap orang yang mereka sayangi terselamat dan pesawat berkenaan dirampas.
Menurut Huikang, adalah tidak adil untuk meletakkan beban di bahu kerajaan Malaysia sahaja justeru beliau meminta semua pihak tidak terus membuat kesimpulan sendiri.
Beliau juga meminta supaya semua pihak cuba untuk memahami mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan perkataan 'berakhir' bagi menjelaskan nasib yang menimpa pesawat MH370.
Kenyataan beliau boleh memberi pelbagai makna dan kadang-kala disalah tafsir. Ada yang anggap ia bermaksud kehilangan, ada yang memahaminya sebagai terhempas dan ada yang mentafsir tidak ada yang selamat.
Saya faham Najib berhati-hati memilih perkataan. Tujuannya hanya untuk menggelakkan sebarang maksud yang menyakitkan anggota keluarga penumpang yang masih berharap ahli keluarga mereka akan pulang," katanya.
No comments:
Post a Comment