Tuesday, March 18, 2014

Kapal terbang 60 kali lebih selamat berbanding jalan kaki

KUALA LUMPUR: Kita sering beranggapan kapal terbang merupakan medium pengangkutan paling merbahaya. Ini kerana kita tidak mempunyai kuasa untuk mengawal atau memandu kapal terbang, serta jarak di antara langit dan darat mempengaruhi ketakutan kita.

Hakikatnya, kapal terbang merupakan medium pengangkutan paling selamat jika dinilai mengikut statistik kemalangan maut yang berpunca daripada pengangkutan lain.

Sebagai contoh, kapal terbang adalah 61 kali lebih selamat berbanding kereta. Malah, berjalan kaki adalah 60 kali lebih bahaya berbanding menaiki kapal terbang.

“Kalau kita tengok dari segi nombornya, kebarangkalian kemalangan kapal terbang adalah 1/7200. Kalau dibandingkan dengan kereta adalah 1/415. Jadi jika dibandingkan secara langsung, maknanya kapal terbang adalah 61 kali lebih selamat daripada menaiki kereta.

"Kalau kita tengok statistik kedua, pejalan kaki. Kebarangkalian kemalangan adalah 1/750. Jika dibandingkan dengan menaiki kapal terbang, ia 60 kali lebih bahaya,” kata penganalisis penerbangan Maybank Investment Bank, Mohshin Aziz.

Tambahnya, sekurang-kurangnya 1,400 kejadian seperti nahas kapal terbang perlu berlaku bagi menyamai jumlah kematian nahas jalan raya di negara ini setakat pada tahun 2013 saja.

“Akan tetapi MH370 adalah insiden pertama selama 37 tahun ini. Jadi berdasarkan perumpamaan ini, amat jelas bahawa kapal terbang jauh lebih selamat berbanding kereta atau mana-mana pengangkutan lain,”  ujarnya.

Pada tahun 2012, sektor penerbangan mencatatkan kehilangan nyawa paling kurang dalam sejarahnya dengan kurang 500 kematian berbanding 2.2 bilion penumpang yang mengembara di seluruh dunia.

Selain  komponen sokongan, kapal terbang juga menjalani penyelenggaraan rapi yang menjadikan ia pengangkutan paling selamat. Ditambah dengan teknologi kejuruteraan terkini, kebarangkalian kerosakan sesebuah kapal terbang adalah sifar.

“Setiap kejuruteraan dalam komponen kapal terbang mempunyai sekurang-kurangnya 3 hingga 5 komponen sokongan untuk bahagian kritikal. Contohnya, juruterbang mempunyai lima cara untuk berkomunikasi seperti e-radio, radio nombor 2, frekuensi ketiga dan sistem ‘pulse’. Sama juga dengan sistem pelepasan atau enjin. Jika satu enjin rosak, enjin kedua berkemampuan untuk membawa penumpang ke lapangan terbang dengan selamat.

“Jadi kebarangkalian kerosakan sesebuah kapal terbang adalah sifar. Selain itu, kapal terbang juga dipandu oleh juruterbang terlatih yang menjadikan ia medium pengangkutan paling selamat,” jelas Mohsin.

Tidak cukup dengan kecanggihan kejuruteraan, setiap kapal terbang komersial juga akan menjalani penyelenggaran kecil setiap hari bagi memastikan keselamatan. Manakala penyelenggaran skala lebih besar akan dijalankan secara sebulan.

“Pemeriksaan mandatori akan dijalankan setiap hari selama dua jam bagi menguji enjin serta perisian lain. Selain pemeriksaan bulanan, kapal terbang akan menjalani ‘C Check’ yang membawa maksud ‘Charlie’ setiap tahun. Penyelenggaran tahunan itu merangkumi penukaran komponen yang haus seperti sistem brek.

“Manakala setiap 11 atau 12 tahun, setiap kapal terbang akan lalui pemeriksaan komprehensif ‘D Check’ di mana setiap inci kapal terbang akan diuji. Selepas penyelenggaran ini, tahap ‘kesihatan’ kapal terbang itu adalah seperti sebuah kapal terbang baru,” katanya dalam satu pertemuan ditemui di pejabatnya di Bangsar.

Berdasarkan statistik, tidak dinafikan kadar nahas kapal terbang semakin berkurang setiap tahun, rentetan kecanggihan teknologi- Awani


No comments:

Post a Comment