Tuesday, March 25, 2014

MH370: INMARSAT jejak MH370 guna pendekatan unik

KUALA LUMPUR: Pendedahan bahawa pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia adalah berdasarkan analisis baru oleh penyiasat-penyiasat di United Kingdom dan firma satelit Britain, INMARSAT.

Menurut laporan BBC, INMARSAT mengemukakan data baru itu kepada bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) supaya ia boleh diperiksa sebelum disebarkan kepada orang awam.

INMARSAT berkata pengiraan terbarunya melibatkan sejumlah besar data analisis yang memberi tumpuan kepada beberapa faktor termasuk pergerakkan pesawat lain.

Firma itu menambah bahawa ini adalah teknik terbaru dan oleh kerana itu, analisis tersebut memakan masa.

Naib Presiden Kanan INMARSAT, Chris McLaughlin berkata firma itu mengkaji “ping” elektronik yang pesawat itu hantar kepada salah satu satelitnya.

"Kami telah berurusan dengan sesuatu yang baru. Kami telah cuba untuk membantu siasatan berdasarkan hanya satu isyarat yang diterima sekali setiap jam dari sebuah pesawat yang tidak ada sebarang data GPS, masa dan jarak maklumat.

"Mereka berjaya mencari jalan untuk mengatakan hanya satu “ping”  sahaja boleh digunakan untuk mengatakan pesawat itu membuat perjalanan. Kemudian, melalui proses penyingkiran dengan membandingkannya dengan pesawat-pesawat yang lain, diketahui ia terbang ke arah Selatan.

Sementara itu, dalam satu temubual di Sky News, MacLaughlin berkata pesawat yang terbang ke arah selatan itu kehabisan minyak.

Semalam, Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pesawat MH370 yang gagal dikesan sejak 8 Mac lalu,disahkan hilangdi kawasan selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia.

Najib berkata, kedudukan terakhir penerbangan MH370 itu didasarkan kepada maklumat daripada data satelit INMARSAT dan AAIB yang mengesahkan pesawat Boeing 777-200 itu terbang ke koridor selatan isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat itu.

"Ini kawasan yang terpencil, jauh daripada mana-mana tapak pendaratan yang munasabah.

"Oleh itu, dengan rasa penuh dukacita dan kesal, saya memaklumkan bahawa, berdasarkan kepada data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib.

Pesawat itu membawa 239 orang, termasuk 38 penumpang dan 12 anak kapal warga Malaysia.

Operasi mengesan pesawat ini digerakkan sejak ia hilang pada awal pagi 8 Mac lalu dan disertai oleh lebih 20 buah negara.

Siasatan awal mendapati pesawat yang hilang itu telah dilencongkan dengan sengaja oleh seseorang yang memandunya. Bagaimanapun, pelbagai spekulasi dan teori konspirasi timbul kerana sistem komunikasi dengan pesawat itu terputus dan tiada bukti-bukti kukuh atau petunjuk mengenai kehilangan pesawat itu.

Antara teori yang dikemukakan dalam masa pencarian sepanjang 17 hari lalu oleh pakar dan penganalisis penerbangan termasuk rampasan, sabotaj oleh juruterbang serta kemungkinan pesawat itu mengalami masalah sehingga menyebabkan semua anak kapalnya tidak sedarkan diri dan pesawat itu terbang sendiri sehingga kehabisan minyak.

Pesawat penerbangan MH370 membuat hubungan terakhir dengan pusat kawalan trafik udara semasa berada di Laut China Selatan di sebuah kawasan yang terletak antara sempadan Malaysia dan Vietnam.

Ia kemudian dikesan berpatah balik dari laluan asalnya dan terbang selama beberapa jam.

Usaha mengesan pesawat itu kemudiannya digerakkan di dua jalur di sebelah utara yang menganjur dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand serta dari Indonesia sampai ke selatan Lautan Hindi- Awani 

No comments:

Post a Comment