Tuesday, March 25, 2014

MH370: Ibu Khairul Amri sedih terima pengesahan nahas

KUANTAN: "Bagi makcik masa dahulu. Makcik tak tau nak cakap apa, sedih sangat dengar pengumuman tadi," kata ibu kepada jurutera kapal terbang Khairul Amri Selamat. 

Normah Jaafar, 50an, amat sedih mendengar pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini bahawa pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan 

MH370 dikesan berakhir di selatan Lautan Hindi. Khairul Amri, 29, merupakan seorang daripada 227 penumpang pesawat itu yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing kerana urusan kerja iaitu untuk membaiki sebuah jet milik syarikat persendirian. 

Normah ketika dihubungi tidak dapat menahan perasaan sedih sebaik mengetahui perkara itu dan menangis teresak-esak mengenangkan nasib yang menimpa anaknya. Beliau bagaimanapun merakamkan penghargaan kepada media kerana ramai yang menghubunginya untuk menyampaikan rasa simpati mereka. 

Normah, yang tinggal di Taman Kerayong Makmur, Bera dekat sini tidak mampu bercakap lebih lanjut kerana terlalu sedih. 

Difahamkan beliau akan ke Kuala Lumpur esok pagi untuk mengetahui dengan lebih lanjut tragedi yang menimpa pesawat MH370 selepas ia hilang sejak 8 Mac. 
Khairul Amri, 29, anak bongsu daripada tiga beradik dan mempunyai seorang anak berusia setahun tiga bulan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment