Monday, March 17, 2014

Kehilangan MH370 ‘tindakan keganasan’ – KPN

Polis mengklasifikasikan kes kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS)  MH370 sebagai tindakan keganasan yang juga bermaksud rampasan dan sabotaj, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau memberitahu pemberita hari ini, semua terpakai di bawah prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Ia juga kata beliau termasuk penyiasatan di bawah Akta Kesalahan Penerbangan.
Khalid juga menegaskan polis masih memberi tumpuan kepada empat bidang penyiasatan termasuk rampasan, sabotaj, masalah peribadi dan psikologi.
“Itu tidak berubah,” katanya.
KPN-Pihak berkuasa Malaysia mendedahkan semalam bahawa kehilangan pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, sengaja dialihkan dan peranti penghantaran kapal dimatikan untuk mengelak daripada dikesan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata siasatan menunjukkan pergerakan jet penumpang dan penutupan hubungan komunikasi adalah perbuatan sengaja tetapi tidak mengatakannya sebagai rampasan pesawat .
Tumpuan siasatan kini terhadap juruterbang berusia 53 tahun, Zaharie Ahmad Shah dan pembantu juruterbang berusia 27 tahun, Fariq Abdul Hamid
Polis semalam mengeledah rumah Zaharie dan merampas sebuah simulator penerbangan. Tindakan yang sama juga dilakukan di rumah Fariq.
“Dengan perkembangan terbaru ini, kami pergi ke rumahnya dan mengambil simulator penerbangan miliknya.
“Kami mengambilnya dari rumah dan memasangnya di pejabat. Kami akan mendapatkan pakar untuk memeriksanya,” kata Khalid.
Apabila ditanya mengapa carian tidak dilakukan lebih awal, Khalid menjawab pihak berkuasa tidak melihatnya sebagai satu keperluan sebelum ini.
Beliau juga mendedahkan Malaysia masih belum menerima laporan mengenai pemeriksaan latar belakang ke atas semua penumpang  MH370 yang hilang daripada negara masing-masing.
“Masih terdapat beberapa negara belum memberi respons terhadap permintaan kami untuk pemeriksaan latar belakang. China dan India sudah melakukannya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau juga menyatakan beberapa agensi risikan sudah menyiasat semua penumpang tetapi enggan mendedahkan lebih lanjut , lapor The Malaysian Insider.
“Kami sedang menyiasat semua penumpang dan anak kapal. Hanya beberapa agensi melakukannya tetapi bukan semua,” katanya.

No comments:

Post a Comment