Thursday, March 20, 2014

SPM 2013: 100 calon berjaya dapat 12A, peratus lulus semua subjek A meningkat

SPM 2013: 100 calon berjaya dapat 12A, peratus lulus semua subjek A meningkatPUTRAJAYA: Seramai 13,970 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 memperoleh gred A (Cemerlang) bagi semua mata pelajaran yang diduduki, peningkatan 0.05% berbanding 13,720 calon pada 2012.

Daripada jumlah itu 100 calon berjaya mendapat 12A; 2,164 calon mendapat 11A; 5,557 calon mendapat 10A; 6,087 calon mendapat 9A dan baki 62 calon lagi mendapat 8A, 7A dan 6A.

Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof ketika mengumumkan keputusan peperiksaan itu di sini hari ini berkata, seramai 405 calon SPM 2013 berjaya memperoleh gred A+ (Cemerlang Tertinggi) bagi semua mata pelajaran.

"Dalam SPM 2013, prestasi bagi 6 daripada 7 mata pelajaran teras meningkat iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sejarah dan Sains. Hanya prestasi mata pelajaran Matematik menurun iaitu sebanyak 0.08 mata daripada Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 4.91 mata pada 2012 kepada 4.99 mata pada 2013."

Katanya berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN), pencapaian calon bandar meningkat sebanyak 0.15 mata iaitu daripada 4.83 mata pada 2012 kepada 4.68 mata pada 2013.

Pencapaian calon luar bandar juga meningkat sebanyak 0.16 mata iaitu daripada 5.44 mata pada 2012 kepada 5.28 mata pada 2013.

"Ini menunjukkan bahawa peningkatan pencapai calon luar bandar lebih tinggi berbanding peningkatan pencapaian calon bandar. Maka jurang pencapaian calon bandar dengan luar bandar mengecil sebanyak 0.01 mata GPN."

Dr. Khair berkata daripada 470,395 calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2013, sejumlah 378,490 (85.52%) calon layak mendapat sijil berbanding 402,859 (91.24%) calon pada 2012.

Ini kerana mulai 2013, calon diwajibkan lulus dua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah untuk mendapat sijil berbanding hanya wajib lulus mata pelajaran Bahasa Melayu tahun sebelumnya- Awani


No comments:

Post a Comment