Thursday, July 24, 2014

Keluarga Md Ali Md Salim akan ke Amsterdam

PUTRAJAYA - Keluarga Md Ali Md Salim, seorang dari penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang nahas di Ukraine, akan ke Amsterdam, Belanda secepat mungkin selepas mendapat tawaran dari MAS untuk melihat jenazah di sana.

Bapa Md Ali, Md Salim Sarmo, 65, berkata beliau akan ke sana bersama isteri, Junaidah Basiran, 62; dua anaknya Mohd Zaki, 38; dan Noryasimah, 23; serta seorang rakan baik mangsa, Mohamad Azuwa Mohamed, 25, selepas segala urusan selesai.

Beliau berkata mereka sekeluarga bersetuju untuk ke sana juga sebagai memenuhi hajat arwah sebelum ini yang ingin membawa beliau dan isteri melancong ke Amsterdam bagi melihat tempatnya belajar.
"Kami sekeluarga sudah tidak memikirkan untuk menyambut hari raya di kampung halaman sendiri, yang penting hajat arwah dapat ditunaikan.

"Kami akan menguruskan urusan pasport secepat mungkin. Kemungkinan kami ke sana sebelum raya," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat dari pihak MAS di Hotel Marriot di sini hari ini.
Mengenai taklimat tersebut, Md Salim berkata pihak MAS menawarkan empat wakil dari setiap penumpang MH17 untuk ke Amsterdam bagi melihat jenazah mangsa buat kali terakhir sebelum dibawa pulang ke Malaysia.
"Setiba jenazah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) anggota keluarga diberi pilihan untuk membawa jenazah terus ke tanah perkuburan atau pulang ke rumah untuk saudara mara serta kenalan memberi penghormatan terakhir.

"Dan kami sekeluarga membuat keputusan untuk membawa pulang jenazah ke rumah kami di Muar, Johor terlebih dahulu sebelum dikebumikan," katanya.
Md Ali anak ke keempat dari lapan adik beradik mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PHD) dalam bidang Development Neuropsycho Patology di Erasmus Universiti Rotterdam, Belanda.

Beliau berada dalam Penerbangan MH17 itu, yang terhempas semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, di Donetsk, Timur Ukraine, berhampiran sempadan Rusia pada Khamis.
Pesawat Boeing 777 itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 kru. - Bernama

No comments:

Post a Comment