Monday, July 21, 2014

Pelumba basikal selamat kali kedua

AMSTERDAM 20 Julai - Pelumba basikal Belanda, Maarten de Jonge boleh disifatkan sebagai lelaki paling bertuah apabila beliau terlepas dari saat kematian sebanyak dua kali.
De Jonge dijadualkan menaiki penerbangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 ke Beijing yang hilang sejak 8 Mac lalu dan turut membeli tiket penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada Khamis lalu.
Bagaimanapun, nasib beliau baik apabila tidak menaiki kedua-dua pesawat tersebut ekoran melakukan penukaran pada saat-saat akhir.
"Apa yang berlaku amat teruk, banyak penumpang menjadi mangsa dan itu memang teruk," kata atlet berusia 29 tahun itu kepada siaran televisyen RTV Oost.
Walaubagaimanapun, De Jonge merancang untuk menaiki sebuah lagi pesawat MAS pada hujung minggu ini.
Katanya, kedua-dua tragedi yang berlaku tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk terus menggunakan khidmat MAS.
"Saya sudah terselamat daripada maut sebanyak dua kali dan mungkin akan selamat buat kali ketiga," ujarnya.
De Jonge yang juga merupakan pelumba basikal pasukan Terengganu sebelum ini menempah tiket MH17 untuk pulang ke Kuala Lumpur selepas menyertai satu kejohanan di Belanda pada awal bulan ini.
Namun, beliau membuat keputusan untuk menukar penerbangan yang lebih murah di Frankfurt, Jerman. - AGENSI

No comments:

Post a Comment