Monday, July 21, 2014

MH17: Pemisah Donetsk akan serah kotak hitam kepada ICAO

MH17: Pemisah Donetsk akan serah kotak hitam kepada ICAO
"Mayat-mayat yang berjaya dikumpul tidak akan di bawa ke Kiev" -- Alexander Borodai


DONETSK: Kumpulan pemberontak wilayah Republik Rakyat Donetsk mendakwa telah menemui kotak hitam pesawat Malaysia Airlines yang nahas di timur Ukraine dan akan menyerahkannya kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Ketua pemberontak, Alexander Borodai berkata semua mayat yang telah dipindahkan dari lokasi kejadian akan disimpan dalam gerabak keretapi berhawa dingin di Torez sehingga kumpulan pakar penerbangan antarabangsa tiba.

"Mayat-mayat itu tidak akan dibawa ke mana-mana sehingga pakar-pakar itu sampai," kata Borodai di Donetsk.

Beliau juga menegaskan pihaknya tidak mengganggu siasatan nahas dan menafikan semua laporan media antarabangsa dan kenyataan pasukan pemantau yang telah melawat lokasi kejadian.

Torez terletak kira-kira 15 kilometer dari tempat pesawat itu terhempas dipercayai ditembak jatuh.

Ukraine dan kumpulan pemisah itu saling menuduh antara satu sama lain sebagai dalang yang menembak jatuh pesawat berkenaan dan saling juga menafikan tuduhan itu.

Ukraine mendakwa kumpulan pemisah yang pro-Rusia itu menerima bekalan senjata daripada pentadbiran Presiden Vladimir Putin. Moscow bagaimanapun menafikan tuduhan itu.

Kedutaan Amerika Syarikat di Kiev pada Ahad mengeluarkan satu kenyataan keras yang mendakwa pesawat malang itu ditembak jatuh dari kawasan yang dikuasai oleh kumpulan pemisah. Ia juga mendakwa Rusia membekalkan sejumlah peralatan tentera termasuk kereta perisai membawa artileri dan pelancar roket kepada kumpulan pemisah itu.

No comments:

Post a Comment