Wednesday, April 2, 2014

MH370: Malaysia bekerja keras tangani kehilangan MH370 - IATA

MH370: Malaysia bekerja keras tangani kehilangan MH370 - IATAKUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia bekerja keras untuk menangani isu kehilangan pesawat MH370, sama ada mententeramkan ahli keluarga penumpang atau memberikan maklumat tepat kepada orang ramai, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

"Pihak berkuasa Malaysia sedang menghadapi keadaan yang ekstrem dan mereka bekerja keras untuk menyelaras sekumpulan pakar daripada pelbagai negara untuk menentukan punca dan lokasi pesawat itu," kata Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tony Tyler, Selasa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Persidangan Operasi IATA pada hari Selasa. Persidangan itu berakhir pada hari Rabu.

"Sudah pasti kita tidak mempunyai hak untuk mengkritik mereka (pihak berkuasa Malaysia). Mari kita tumpu kepada perkara paling penting, melakukan apa yang boleh untuk membantu mereka yang kehilangan orang yang tersayang," katanya.
 
Misi mencari dan menyelamat untuk pesawat MH370 itu sudah memasuki minggu ketiga.

Bagaimanapun, misi itu hanya tinggal kira-kira seminggu untuk mencari bukti fizikal, terutama 'kotak hitam' kerana isyarat daripada perakam akan lenyap tidak lama lagi.
   
Tyler berkata, operasi mencari itu dijalankan pada sekala yang belum pernah dilakukan sebelum ini dan usaha mereka yang terbabit umpama wira.

Menurutnya, apa yang berlaku adalah satu realiti.

"Cara terbaik untuk kita yang terbabit dalam penerbangan adalah untuk memperingati mereka yang di dalam pesawat dan belajar daripada yang berlaku untuk meningkatkan keselamatan di masa depan," katanya.

Dalam keadaan normal, katanya, insiden seperti itu memerlukan satu tahun atau lebih untuk diselesaikan.

"Dalam kes ini, di mana pesawat hilang di kawasan yang sukar, ia tentunya mengambil tempoh yang lama sebelum kita boleh mengambil sebarang kesimpulan berkaitan mitigasi," katanya.- Awani

No comments:

Post a Comment