Thursday, July 24, 2014

Album Gambar Dijumpai Di Lokasi Nahas MH17 Dan Ingin DiPulangkan Kepada Waris Mangsa



106
 

0 


1


DEMURA Ksenia menunjukkan muka surat terakhir album milik salah seorang penumpang MH17


KETIKA pasukan pakar penerbangan meneliti serpihan pesawat di Kampung Petropavlovka, iaitu lokasi kedua nahas pesawat MH17, seorang anak gadis dilihat berlari ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari situ.

Tidak lama selepas itu, Demura Ksenia kembali dengan sebuah album di tangannya dipercayai milik salah seorang penumpang MH17. Anak gadis berusia 13 tahun itu kemudian menunjukkan album tersebut kepada wartawan yang sedang memerhatikan dari jauh kerja-kerja siasatan dilakukan.

Tanpa berkomunikasi kerana tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, kanak-kanak itu menyelak album tersebut sehelai demi sehelai. Paparan gambar menunjukkan saat-saat bahagia sebuah keluarga yang sedang dalam percutian.

Tiba pada helaian terakhir terpampang gambar seorang lelaki mengangkat tangan umpama sedang melambai berlatarbelakangkan sebuah pulau beserta catatan dalam bahasa Melayu Indonesia.

PAPARAN gambar sebuah keluarga mangsa tragedi MH17 yang sedang bercuti.

Catatan tersebut antara lain berbunyi ; "Sayang Bagia, Marini, Dian dan Dewi, terima kasih banyak atas cinta dan peduli pada ku dan untuk keramahan anda, banyak cinta dari ibu ferial, anda merasa seperti keluarga bagi saya."

Sebaik sahaja menutup album itu, Ksenia menghulurkannya kepada salah seorang wartawan dengan harapan ia dibawa pulang ke Malaysia dan diserahkan kepada keluarga mangsa.

Namun wartawan tersebut enggan menerimanya kerana berpendapat ia adalah bahan bukti.
Kanak-kanak itu kemudian berlari pulang ke rumahnya bersama-sama dengan album tersebut.


Penduduk kampung membina tugu peringatan tragedi MH17.

Hakikatnya, tragedi MH17 terhempas dipercayai ditembak di timur Ukraine sememangnya mimpi ngeri kepada keluarga 298 penumpang pesawat. Tiada siapa menduga kejadian seumpama itu akan menimpa pesawat yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu 

Begitu juga dengan kanak-kanak kampung di sekitar kawasan kemalangan pesawat MH17. Mereka tidak pernah mengimpikan insiden ngeri itu boleh berlaku di hadapan mata dan peristiwa itu kini adalah sesuatu yang mereka perlu hadapi. 

Insiden tersebut turut menghantui orang dewasa di Kampung Petropavlovka yang masih lagi mengingati bagaimana serpihan-serpihan pesawat malang itu jatuh di kawasan taman rumah mereka.

Terdahulu, Bondar Roman, 34, menunjukkan serpihan pesawat Boeing, B777-200ER milik Malaysian Airline System Berhad yang berlubang.

No comments:

Post a Comment