Friday, July 18, 2014

Hati ibu luluh lihat cebisan pesawat, enam sekeluarga 'pulang' selamanya



Hati ibu luluh lihat cebisan pesawat, enam sekeluarga 'pulang' selamanya
KUCHING: Jamilah Noriah Abang Aji Anuar, 72, terlalu sebak untuk becerita mengenai anaknya Ariza Ghazalee, 46, menantunya Tambi Jiee, 49, bersama keempat-empat anak mereka yang menjadi penumpang pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia.

Dengan suara tersekat-sekat beliau memberitahu anak, menantu bersama cucu-cucunya itu sedang dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas lebih tiga tahun berada di luar negara.

Beliau berkata anaknya mengikuti suami yang bertugas dengan sebuah syarikat milik Shell di Kazakhstan dan suami anaknya itu baru mendapat kebenaran untuk berpindah tempat kerja dari Kazakhstan ke Kuala Lumpur.

Beliau yang ditemui di kediamannya di Samariang di sini berkata sebelum ini anaknya begitu ceria hendak menyambut Aidilfitri di tanah air, malah sudah mula menempah baju warna sedondon putih untuk hari lebaran nanti.

Menurutnya pengesahan mengenai anaknya sekeluarga menjadi penumpang pesawat itu hanya diperolehnya awal pagi Jumaat dan hatinya bertambah sebak menyaksikan cebisan pesawat berselerak disiarkan di televisyen.

Kediamannya di sini sudah mula dipenuhi sanak saudara, termasuk daripada keluarga menantunya sejak awal pagi dan suasana pilu memang tidak dapat digambarkan, susulan tragedi berkenaan.

Ariza merupakan anak kedua daripada lima beradik mengambil cuti tanpa gaji selama tiga tahun daripada tugasnya sebagai jurutera di Bintulu untuk bersama suaminya di Kazakhstan.

Kakak Ariza, Madzalina Ghazalee, 47, berkata keluarganya mulai kecoh mengenai kemungkinan Ariza bersama keluarganya menaiki kapal terbang yang dilaporkan terhempas selepas ditembak, tengah malam tadi, namun tiada siapa yang dapat mengesahkannya.

Beliau berkata pada awal pagi ini, keluarnya mendapat maklumat dan pengesahan daripada Penerbangan Malaysia (MAS) mengenai adiknya bersama keluarga adalah penumpang pesawat malang berkenaan.

Madzalina berkata, Ariza bersama suami dan anak-anak mereka Muhammad Afif, 19, Muhammad Afzal, 19, Marsha Azmeena, 15 dan Muhammad Afruz, 13, dijadual tiba di Kuala Lumpur awal pagi ini dan berlepas ke Kuching tengah hari, untuk sampai di sini kira-kira 2 petang ini.


No comments:

Post a Comment