KUALA LIPIS – Tindakan pantas penumpang bas ekspres dua tingkat yang memaklumkan kepada pemandu tentang bau benda terbakar berjaya menyelamatkan kesemua 39 penumpang dan dua pemandu kenderaan berkenaan.
Kejadian mencemaskan itu berlaku kira-kira jam 1.45 tengahari semalam di Kilometer 32 Jalan Kuala Lipis-Merapoh berhampiran Ladang Felda Telang di sini.
Ketua Polis Daerah, Superitendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian berkenaan menyebabkan bas milik syarikat Transnasional yang dalam perjalanan dari Puchong Prima, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan itu musnah terbakar.
“Sejurus dimaklumkan tentang bau benda terbakar, pemandu bas berusia 44 tahun tersebut bertindak segera memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan memeriksa bahagian enjin bas terbabit.
“Sejurus melihat enjin bahagian belakang bas itu mengeluarkan asap dan percikan api, pemandu bas berkenaan bertindak mengarahkan penumpang turun dan cuba menyelamatkan barangan milik penumpang,” katanya.
Abdul Razak berkata, kesemua penumpang dan pemandu selamat dan tidak mengalami kecederaan.
Menurutnya, walau bagaimanapun barang seperti beg pakaian dan keperluan harian kepunyaan tujuh penumpang tidak sempat diselamatkan kerana api merebak ke seluruh bahagian bas dengan cepat.
“Semua penumpang bas berkenaan kemudiannya meneruskan perjalanan ke destinasi dengan menggunakan bas lain,” katanya. – Sinar Harian Online
No comments:
Post a Comment