KIEV: Tiga pemain Argentina dari Metalist Kharkiv enggan pulang ke kelab bola sepak dari Ukraine itu kerana bimbang dengan konflik yang melanda negara berkenaan, menurut satu laporan media tempatan, hari ini.
Kapten Metalist, Jose Sosa, Alejandro Gomez dan Jonathan Cristaldo berkata mereka akan kekal di Argentina sehingga situasi di Ukraine kembali seperti biasa atau kontrak mereka dibatalkan.
Tidak masuk akal kami berada di negara yang kami berasa tidak selamat lagi,” kata Gomez kepada sesawang www.football.ua information site.
“Tiada siapa dapat menjamin keselamatan kami di Ukraine.”
Minggu lalu, seorang lagi pemain tengah Argentina, Sebastian Blanco enggan pulang ke Metalist Kharkiv - sebuah kelab di timur Ukraine daripada kem latihan di Austria.
“Selepas pesawat MH17 milik Malaysia terhempas saya tiada niat untuk kembali ke Ukraine,” kata pemain berusia 26 tahun itu.
Sementara itu, juara Ukraine, Shakhtar Donetsk sudah kehilangan enam pemain asing yang enggan pulang ke kelab berkenaan selepas tragedi pesawat berkenaan yang terhempas selepas ditembak di sempadan Ukraine-Russia, Khamis lalu.
Enam pemain berkenaan adalah pemain Brazil - Fred, Alex Teixeira, Douglas Costa, Dentinho dan Ismaily manakala seorang pemain Argentina, Facundo Ferreyra.
Mereka enggan menaiki pesawat untuk pulang ke Ukraine selepas kelab berkenaan tewas kepada Lyon 4-1 di bandar Annecy, Sabtu lalu. - AFP
No comments:
Post a Comment