Monday, July 21, 2014

Nahas MH17: ‘Bawa balik walau secebis’

Nahas MH17: ‘Bawa balik walau secebis’

Noriah (dua dari kiri) tidak dapat menahan kesedihan melihat wajah anaknya yang disiarkan pada muka hadapan akhbar NST di Cyberjaya, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail
Cyberjaya: “Kalau dapat bawa balik tidak kira apa juga, walau secebis, sudah cukup membuatkan saya gembira. 

“Itu satu-satunya harapan saya kini. Biarlah kematiannya ‘bertanda’, supaya anaknya (Abderrahman) kelak dapat melihat bukti di depan mata di mana ayahnya berada. 

“Moga Allah izinkan hajat saya itu. Jika ada rezeki untuk (serpihan atau jasad Ahmad Hakimi) dibawa pulang ke sini, saya akan mengebumikan di sini, tidak akan dibawa pulang ke kampung. Sekurang-kurangnya, saya dapat menatap kuburnya sekali seminggu pun sudah cukup.” 

Demikian kata Noriah Daud, 57, ibu kepada pembantu juruterbang pesawat MH17, Ahmad Hakimi Hanapi, 29, yang terhempas di timur Ukraine sempadan Russia, Khamis lalu. 

Sepanjang perbualan dengan wartawan, setiap kali nama Ahmad Hakimi disebut, Noriah akan sebak dan dilihat mengalirkan air mata. 

Ahmad Hakimi, anak ketiga dan lelaki tunggal daripada empat adik beradik, yang meninggalkan seorang balu, Sharifah Asma'a Syed Alwi Al Junied, 29, dan seorang bayi lelaki Abderrahman, sembilan bulan, disifatkan sebagai seorang anak dan bapa yang sangat penyayang dan disenangi oleh semua ahli keluarganya. 

Perlakuan pelik 
Sementara itu, bapa Ahmad Hakimi, Hanapi Mohd Noor, 67, ketika ditemui, berkata perlakuan pelik Allahyarham dua hari sebelum berlepas ke Amsterdam, menjadi tanda tanya buat dirinya dan isteri beliau. 

“Dia berpesan supaya ibunya mengerjakan haji secepat mungkin. Memang setiap bulan dia akan masukkan duit ke dalam akaun Tabung Haji, tetapi dua hari sebelum dia bertugas, dia tinggalkan sejumlah wang dalam bentuk tunai yang jumlahnya lebih daripada cukup untuk ibunya mengerjakan haji. 

“Itulah pesanan dan titipan terakhirnya sebelum kami menerima berita yang amat mengejut dan menyedihkan pada malam itu. Pelik, tapi itulah ‘bayangan’ yang diberikan bahawa dia akan pergi terlebih dulu meninggalkan kami sekeluarga. 

“Hakimi juga berhasrat membawa kami sekeluarga mengerjakan umrah dalam masa terdekat ini, tetapi hajatnya tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam. 

Hanapi yang juga bekas pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang berkata, nenek Ahmad Hakimi pernah bertanya kepada Allahyarham sama ada beliau ingin menukar kerjaya selepas berlakunya insiden kehilangan MH370. 

“Tetapi Hakimi hanya menjawab kematian boleh berlaku di mana saja dan dia tidak terniat langsung untuk menukar kerjaya kerana terlalu mencintai dunia penerbangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment