Bekas pelawak dan pelakon terkenal, Bob Lokman, mengakui penglibatan beliau dalam arena politik dipengaruhi atas dasar ada pihak meyakini kredibilitinya dalam meraih undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
“Tiga tahun dulu memang saya seorang artis tapi sekarang tidak lagi. Artis ni memang kredibiliti mereka memancing undi. Misalnya, kalau dalam satu-satu ceramah, saya ni dijadikan umpan sebenarnya. Orang lain yang akan bercakap dulu dan saya diletakkan di slot akhir supaya penonton akan ternanti-nantikan kemunculan saya. Kerja politik memang begitu”, katanya pada majlis forum Wacana Sinar Siri ke-18 di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, petang semalam.
Pemilik nama sebenar Muhammad Hakim Lokman itu berhujah tatkala ditanya sama ada beliau dipelawa memasuki parti politik kerana penghijrahan beliau atau kerana popularitinya sebelum ini.
Bob Lokman turut berkata keputusan seseorang artis itu untuk menyertai sesebuah parti politik terletak pada niat artis itu sendiri.
“Ia (masuk politik) sebenarnya ikut fahaman masing-masing. Setiap pekerjaan itu dimulakan dengan niat. Saya masuk PAS pun bukan untuk dipanggil (ceramah) tapi mereka yang panggil saya”, katanya membidas mengenai sekiranya seseorang artis itu hendak berdakwah mengapa tidak menerusi karya-karyanya dan kenapa perlu menyertai politik.
Selain Bob, wacana yang mengupas tajuk ‘Artis Berpolitik: Kredibiliti Atau Pancing Undi’ ini turut dibarisi panelis iaitu seorang lagi artis yang menyertai PAS, Hairie Othman, Datin Paduka Shuhaimi Baba dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi. Manakala Dekan fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, UiTM, Prof Madya A. Razak Mohaideen bertindak sebagai moderator.
- mD
No comments:
Post a Comment